Konsert Pinkfish: Polis tunggu laporan toksikologi, rakam keterangan 50 individu
Polis masih menunggu laporan analisis toksikologi tujuh mangsa yang disyaki mengambil pil ecstasy semasa menghadiri konsert Pinkfish di Bandar Sunway pada 31 Disember lalu.
Faida Rahim
Sun Jan 12 2025
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, siasatan kes masih berjalan dan pihaknya sudah mengambil keterangan daripada 50 individu. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Polis masih menunggu laporan analisis toksikologi tujuh mangsa yang disyaki mengambil pil ekstasi semasa menghadiri konsert Pinkfish di Bandar Sunway pada 31 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, siasatan kes masih berjalan dan pihaknya sudah mengambil keterangan daripada 50 individu.
"Setakat ini tinggal satu lagi mangsa di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan kita akan ambil keterangan apabila masa sesuai. Seterusnya kita masih menunggu lagi laporan toksikologi daripada Jabatan Kimia dan setakat ini seramai 50 orang yang telah kita ambil keterangan untuk kes tersebut," katanya kepada Astro AWANI.
Sebelum ini, polis sudah merakam keterangan seorang lagi individu yang dirawat di PPUM bagi membantu siasatan kes kematian empat pengunjung konsert ambang tahun baharu.
Wan Azlan dilaporkan berkata, individu berkenaan yang sebelum ini menerima rawatan di PPUM sudah dibenarkan pulang dan keterangannya diambil pada 8 Januari lalu.
Terdahulu media melaporkan, siasatan awal polis mendapati empat mangsa yang meninggal dunia selepas menghadiri konsert itu disyaki terbabit dalam pengambilan dadah jenis ekstasi.