KUALA LUMPUR: Tidak ada cara lain untuk atasi kos sara hidup melainkan dengan menaikkan kadar gaji.

Profesor Adjung Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz Universiti Malaya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Zakariah Abdul Rashid berkata pendapatan isi rumah mesti melebihi kadar perbelanjaan wajar agar rakyat boleh menikmati taraf hidup yang munasabah.

“Saya fikir tidak ada cara lain (untuk tangani isu kos sara hidup). Ini kerana, untuk tangani isu kos sara hidup kita perlu turunkan harga, tetapi ini langkah yang tidak produktif dan tidak sesuai.

“Kedua melalui meningkatkan pendapatan isi rumah. Perkara yang perlu dilakukan oleh Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) adalah menjadikan isi rumah lebih mampu berbelanja dengan merapatkan jurang antara pendapatan ketika ini dengan pendapatan wajar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu. 



Tidak ada cara lain atasi kos sara hidup melainkan gaji dinaikkan - Penganalisis

Jelas Zakariah, kerajaan juga harus mengambil kira perbezaan kadar perbelanjaan isi rumah wajar bagi setiap daerah di Malaysia. Perbezaan ini seterusnya akan mencerminkan keperluan kadar pendapatan yang berbeza mengikut daerah-daerah tersebut.

“Hidup yang wajar ini berbeza-beza mengikut daerah. Daerah Pitas dan daerah Putrajaya adalah berbeza dengan gaya perbelanjaan yang berbeza.

“Maklumat-maklumat ini penting. Maka, apabila kita dapatkan bangunkan indikator seperti ini, manfaatnya besar kepada penggubal dasar supaya boleh beri cadangan lebih tepat untuk atasi masalah kos sara hidup,” katanya lagi.

Pada Selasa, Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bersetuju agar Jabatan Perangkaan (DOSM) membangunkan satu indikator baharu bagi mengukur tahap kos sara hidup rakyat hingga ke peringkat daerah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mempengerusikan mesyuarat itu di Bangunan Parlimen, berkata indikator tersebut adalah bagi membantu kerajaan merangka pelaksanaan program lebih tepat dan berkesan.



Agenda AWANI: Indikator baharu ukur poket rakyat