Timbalan Menterinya Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kerjasama erat antara kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, dan penduduk amat penting bagi memastikan projek yang dirancang dapat dilaksanakan dan dimanfaatkan sepenuhnya.
"Kerajaan Persekutuan melalui PETRA juga komited turun padang ke negeri-negeri untuk menilai keadaan terkini berkaitan projek atau program dalam sektor tenaga, tenaga boleh baharu, dan air," katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Projek Siap kepada kerajaan Johor di sini hari ini.
Lima projek adalah di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran iaitu Projek Menaik Taraf Empangan Bekok, Projek Menaik Taraf Infrastruktur Mekanikal dan Elektrikal untuk Kawalan Banjir Negeri Johor, Projek Penambakan Pemecah Ombak di Pengkalan Seri Menanti Laut di Muar, Projek Menaik Taraf Sistem Saliran Mesra Alam Sungai Suloh di Batu Pahat serta Projek Pembinaan U-shape Konkrit dari Sungai Batu Pahat ke Pekan Semerah.
Satu lagi projek pula ialah Projek Penyaluran Air Mentah Layang 2 di bawah Jabatan Bekalan Air (JBA).
Ditanya mengenai usaha untuk mengurangkan risiko banjir, Akmal Nasrullah berkata sememangnya terdapat perancangan untuk projek penggunaan tebatan banjir yang lebih besar bagi Johor.
"Kami (PETRA) juga mengambil maklum perubahan iklim dan situasi hujan berterusan melebihi 24 jam yang menyebabkan beberapa kawasan terkesan, namun itu tidak bermakna tiada usaha atau cara untuk mengurangkan risiko banjir.
"Kalau kita merujuk amanat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada penjawat awam sebelum ini, beliau menzahirkan bahawa terdapat keperluan untuk kita melihat ruang atau peluang bagi memastikan projek-projek ini dapat disiapkan dengan sempurna.
"Maka sebab itu di peringkat kementerian dan jabatan, kita telah pun mengambil inisiatif untuk memulakan kajian dan perbincangan kerana antara cabaran yang perlu diuruskan bukan sahaja melibatkan komitmen dari segi penguatkuasaan tetapi juga komitmen pihak kontraktor untuk mempercepat kemajuan projek," katanya.
Beliau berkata PETRA menerusi penubuhan Jawatankuasa Khas Task Force Isu Bekalan Air dan Tebatan Banjir di Johor komited dalam menyelaras isu-isu yang timbul semasa peringkat prapelaksanaan projek agar projek terbabit dapat disegerakan.
Secara keseluruhan, Akmal Nasrullah berkata di bawah Rolling Plan Kelima (RP-5) Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), sejumlah 29 projek dengan kos keseluruhan RM5.64 bilion serta peruntukan bagi tahun ini sebanyak RM224.8 juta telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan melalui PETRA bagi Johor.
-- BERNAMA