KUALA LUMPUR: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) akan mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan pada 22 Ogos ini sebelum mengumumkan caj akses pihak ketiga terhadap grid elektrik Malaysia.


Ringkasan AI
  • Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) akan mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan pada 22 Ogos untuk membincangkan caj akses pihak ketiga terhadap grid elektrik Malaysia.
  • Kerajaan sedang dalam peringkat akhir untuk memuktamadkan Skim Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS), yang dijadualkan selesai bulan depan. Maklum balas daripada pihak berkepentingan akan dikumpulkan sebelum pengumuman rasmi caj tersebut.
  • Kerajaan akan mempercepat pelaksanaan mekanisme grid terbuka untuk meningkatkan akses kepada elektrik hijau melalui perjanjian pembelian korporat pihak ketiga. Ini termasuk menggalakkan penggunaan sumber tenaga boleh baharu bukan solar seperti biogas, biojisim, dan hidro mini.


Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Petra Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pihak berkepentingan itu melibatkan penggiat industri, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan.

Menurutnya kerajaan dalam peringkat akhir untuk memuktamadkan Skim Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) yang dijadualkan selesai bulan depan.

"Kami akan mengumpulkan maklum balas daripada pihak berkepentingan mengenai CRESS, mengemukakan cadangan kerajaan, dan membincangkan berkenan caj itu.

"Walaupun kami telah mempunyai idea mengenai angkanya, kami tidak boleh mengumumkan sehingga ia dimuktamadkan dan dipersetujui oleh semua sektor," katanya dalam sidang media pada Sidang Kemuncak Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) ke-6 2024.

Sidang kemuncak itu dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia yang diadakan hari ini sehingga esok di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Terdahulu, beliau berkata kerajaan akan terus mempercepat dan mempertingkat pelaksanaan mekanisme grid terbuka, memudahkan peningkatan akses kepada elektrik hijau untuk perniagaan melalui perjanjian pembelian korporat pihak ketiga.

"Kita secara strategiknya beralih daripada model pembeli tunggal bagi pembangunan tenaga boleh baharu (TBB) untuk mengurangkan risiko sistem bekalan elektrik negara yang berkesan, mendorong penyertaan dan persaingan yang lebih besar dalam industri bekalan kuasa dan dalam kalangan pihak berkepentingan TBB," katanya.

Fadillah menekankan bahawa peralihan ini akan merangsang pasaran yang berdaya saing kepada TBB yang membawa kepada pengurangan kos, meningkatkan keyakinan pelabur dan mempercepatkan penggunaan teknologi tenaga bersih.

"Pada masa sama, SEDA Malaysia akan menjalankan kajian kluster biotenaga untuk mendapatkan bekalan elektrik hijau daripada sumber bukan solar yang akan dibenarkan di bawah CRESS," katanya.

Beliau berkata kerajaan akan terus menggalakkan pembangunan dan penggunaan sumber TBB bukan solar seperti biogas, biojisim dan hidro mini untuk mempelbagaikan sumber penjanaan kuasa negara di samping memastikan keselamatan dan kebolehpercayaan sistem tenaga.

"Setakat ini, pada pandangan kita yang paling cepat dan berpatutan adalah tenaga solar, menerusi projek solar berskala besar (LSS) iaitu LSS1 hingga LSS5 yang dilaksanakan menerusi tender terbuka.

"Kita juga melihat kepada biogas, biojisim serta hidro mini yang akan turut dilaksanakan melalui tender terbuka," katanya.

-- BERNAMA