SUBANG: Malaysia kekal komited ke arah sifar penggunaan plastik sekali guna khususnya membabitkan penyedut minuman, di sebalik desakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk kembali menggunakan penyedut minuman plastik.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Malaysia tidak akan berganjak dengan dasar sendiri untuk membimbing orang awam tentang risiko penggunaan plastik sekali guna terhadap alam sekitar.

“Bagi Malaysia, dasar kita memang ke arah sifar penggunaan plastik sekali guna, tapi kita tahu ada banyak sektor seperti perubatan di mana susah untuk elak penggunaan plastik sekali guna, contohnya bagi peralatan pelindung diri (PPE) atau picagari (syringe).

“Jadi mahu tak mahu, terpaksa juga guna plastik yang pakai buang. Dalam situasi yang kita tak dapat elak, maka kita perlu amalkan penggunaan plastik secara lestari dan kadar kitar semula perlu ditingkatkan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan pameran The Forgotten Stripes: Tapir Launch & Exhibition di Kolej Antarabangsa INTI, di sini, pada Rabu.

Nik Nazmi juga berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar sedang merancang untuk mengkaji kebolehlaksanaan perundangan peringkat kebangsaan untuk menangani pencemaran sisa plastik.

Trump pada Isnin menandatangani perintah di White House yang menyatakan bahawa jabatan dan agensi kerajaan AS tidak perlu lagi mendapatkan dan menggunakan penyedut kertas pada masa hadapan.

Sementara itu, bagi mengurangkan kes kematian Tapir Malaya akibat kemalangan jalan raya, Nik Nazmi menjelaskan, kementerian melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) akan terus memperkukuh usaha perlindungan habitat dan koridor ekologi.

Ini termasuklah penubuhan sebuah lagi pusat pemuliharaan Tapir di Kenaboi, Negeri Sembilan yang akan siap menjelang 2027.

Berdasarkan rekod PERHILITAN, dari 2020 hingga Mac 2024, sebanyak 112 ekor Tapir Malaya terkorban akibat kemalangan jalan raya di jalan persekutuan, jalan negeri dan lebuh raya.

“Antara masalah besar tapir ialah kehilangan habitat dan kadar pembiakan mereka juga agak rendah sebab tempoh matang ibu tapir  yang bunting ialah kira-kira 13 bulan dan akan lahirkan seekor anak sahaja.

“Kalau di kawasan habitat mereka itu ada jalan raya, tapir terdedah menjadi mangsa kemalangan. Haiwan pemangsa seperti harimau tak makan tapir, sebaliknya ancaman utama tapir ialah manusia,” katanya lagi.

Setakat ini, jumlah Tapir Malaya di Malaysia membentuk populasi terbesar berbanding habitat lain seperti di Thailand dan Myanmar, iaitu kira-kira 1,300 ekor.