BUSAN: Rundingan terakhir bagi mencapai perjanjian antarabangsa untuk mengawal pencemaran plastik memasuki fasa genting apabila lebih 100 negara menyokong cadangan mengehadkan pengeluaran plastik.

Sokongan itu bagaimanapun berdepan tentangan sengit daripada segelintir negara pengeluar minyak yang mahu fokus hanya diberikan kepada pengurusan sisa.

Mesyuarat Kelima Jawatankuasa Perunding Antara Kerajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (INC-5), bertujuan menghasilkan perjanjian antarabangsa yang sah dari segi undang-undang, berakhir di Busan, Korea Selatan pada Ahad.

Perjanjian yang diharapkan daripada rundingan ini dianggap paling signifikan sejak Perjanjian Paris 2015 dalam menangani perlindungan alam sekitar dan isu pemanasan global.

Menurut laporan, negara-negara masih tidak mencapai kata sepakat mengenai skop asas perjanjian itu.

Usul Panama, yang disokong lebih 100 negara, mencadangkan sasaran global untuk mengurangkan pengeluaran plastik, manakala cadangan lain langsung tidak membenarkan sebarang had pengeluaran.

Duta khas Kesatuan Eropah (EU) untuk iklim dan alam sekitar, Anthony Agotha berkata, masyarakat
perlu menangani keseluruhan kitaran hayat plastik dan tidak boleh hanya bergantung kepada kitar semula untuk menyelesaikan krisis.

Negara-negara pengeluar petrokimia seperti Arab Saudi terus membantah usaha mengehadkan pengeluaran plastik dan menggunakan taktik prosedur untuk melengahkan rundingan.

Pengeluaran plastik dijangka meningkat tiga kali ganda menjelang 2050, dengan mikroplastik kini dikesan dalam udara, hasil tanaman segar dan susu ibu manusia.

Laporan 2023 oleh Program Alam Sekitar PBB menyenaraikan lebih 3,200 bahan kimia berbahaya dalam plastik yang memberi risiko tinggi kepada wanita dan kanak-kanak.