KOTA BHARU: Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 akan dibentangkan Julai ini, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohamed Fadzli Hassan.

Beliau berkata jawatankuasa induk dan jawatankuasa teknikal yang dibentuk berhubung pindaan itu kini sedang membuat persiapan sebelum pembentangan.

"Kita meletakkan satu kerangka asas kepada jawatankuasa ini bersesuaian dan bertepatan dengan kerangka perlembangan dan undang-undang yang terpakai di Malaysia.

"Kerajaan negeri ada kaedah dan cara bagaimana mahu buat (pindaan) undang-undang syariah yang akan dibentangkan pada Julai tahun ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Kelantanku Bersih Tahun 2024 di Kompleks Kota Darul Naim, di sini, hari ini.

Mohamed Fadzli berkata sebelum ini, pihaknya turut mengadakan satu konvensyen di Balai Islam dan memperoleh input-input berguna bagi meneliti semula enakmen yang telah terbatal dan cara menjadikan enakmen itu bersesuaian dengan kerangka perlembagaan dan undang-undang di negara ini.



KELANTAN-ENAKMEN (BENTANG) 2 (AKHIR) KOTA BHARU



"Kita tidak mahu lagi ada orang atau pihak mencabar kita kononnya atas dasar bertentangan dengan perlembagaan atau bidang kuasa DUN (Dewan Undangan Negeri) Kelantan.

"Dua jawatankuasa yang dibentuk ini dibantu oleh pakar-pakar daripada pelbagai sektor undang-undang, institusi pengajian tinggi awam, institusi pengajian tinggi swasta dan jabatan kerajaan," katanya.

Pada Mac tahun lepas, DUN Kelantan telah meluluskan usul untuk menggubal semula 16 kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan 2019 yang diisytihar batal dan tidak sah oleh Mahkamah Persekutuan pada 9 Feb tahun lepas.

Sebelum ini, panel sembilan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8-1 membuat keputusan membatalkan enakmen terbabit selepas membenarkan petisyen peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman.

-- BERNAMA