Dalam satu kenyataan di Persidangan Perubahan Iklim (COP29) di Baku, Stiell menegaskan bencana akibat perubahan iklim turut akan menyebabkan ekonomi terbesar dunia menghadapi krisis ekonomi.
Bencana iklim bukan sahaja menghancurkan kehidupan, tetapi juga menjejaskan rantaian bekalan, meningkatkan harga makanan dan melonjakkan inflasi.
"Tanpa pengurangan pelepasan karbon yang segera, ekonomi-ekonomi terbesar dunia ini akan menghadapi kesan ekonomi yang teruk akibat krisis iklim," katanya.
Stiell menekankan bahawa kemajuan dalam kewangan iklim, baik di dalam proses COP mahupun di luar, adalah sangat penting, dan peranan G20 sangat kritikal dalam hal ini.
"Di Baku (COP29), para perunding iklim sedang bekerja keras dalam menetapkan sasaran kewangan iklim yang baharu," katanya.
Stiell turut mengingat Forum G20 untuk menawarkan mekanisma supaya negara-negara membangun tidak terus dibebani hutang dalam usaha mereka menangani perubahan iklim.
"Pelepasan hutang dianggap sebagai penyelesaian penting bagi membantu negara miskin yang terjejas akibat perubahan iklim.
"Kos perkhidmatan hutang yang tinggi sering membelenggu negara-negara yang rentan untuk melaksanakan tindakan iklim yang lebih berani," katanya.
Pemimpin-pemimpin ekonomi terbesar dunia G20 akan berkumpul di Rio De Janeiro ketika Persidangan Perubahan Iklim (COP29) akan memuktamadkan rangka kewangan iklim.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan turut menyertai sidang G20 Rio itu minggu depan.