TEHRAN: Israel akan membayar "harga yang mahal" untuk pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di bumi Iran, kata diplomat kanan Iran, Abbas Araghchi dalam satu hantaran di akaun X pada Rabu.

Abbas dijangka menjadi Menteri Luar Negeri di bawah pentadbiran Presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian, menurut laporan media kerajaan IRNA.

“Rejim Israel akan gagal mencapai objektifnya untuk menyekat kerja kerajaan baharu di Iran,” kata Abbas.

Israel, bagaimanapun, tidak mengaku bertanggungjawab di atas pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas itu  dalam satu serangan di Tehran, semalam.

[LAPOR LANGSUNG]: Acara penghormatan terakhir di Tehran, Ismail Haniyeh akan dikebumi di Doha - Laporan

Kematian Ismail yang dipercayai menjadi sasaran peluru berpandu pada awal pagi Rabu menyebabkan seluruh dunia berduka.

Jenazah Ismail akan dibawa ke Doha, Qatar selepas majlis penghormatan terakhir di Tehran yang dijadual pada Khamis sekitar jam 8 pagi waktu tempatan.

Memetik portal Al Jazeera, kumpulan Hamas berkata, selepas majlis penghormatan terakhir berlangsung di ibu negara Iran itu, jenazah Ismail kemudian akan dikebumikan di ibu negara Qatar pada Jumaat.