Dalam perbincangan kepimpinannya, Hamas mesti mempertimbangkan bukan sahaja keutamaan penyokong utamanya - Iran - tetapi juga kepentingan negara Qatar, di mana semua calon utama untuk mengambil alih jawatan ketua biro politik menetap.
Yahya, pemimpin kanan Hamas dibunuh oleh tentera Israel dalam pertempuran pada Rabu lalu, kali kedua dalam tempoh kurang tiga bulan Hamas kehilangan pemimpin tertingginya.
Ketuanya sebelum ini, Ismail Haniyeh, telah dibunuh di Iran pada bulan Julai hampir pasti oleh Israel.
Apabila menggantikan Ismail, Yahya menyatukan kedua-dua kepimpinan tentera dan politik di Gaza, namun, itu tidak kelihatan kali ini.
Selepas lebih setahun serangan ganas Israel ke atas Hamas, membunuh ribuan pejuangnya dan menghapuskan tokoh-tokoh kanan di dalam dan di luar Gaza, tidak jelas bagaimana Hamas akan bangkit daripada tamparan terbaharu ini.
Timbalan Yahya, Khalil Al-Hayya yang dilihat sebagai bakal pengganti pada Jumaat menegaskan, tebusan Israel tidak akan dikembalikan sehingga tentera rejim Zionis berundur dari Gaza dan mengakhiri peperangan.
Hamas mempunyai sejarah pantas dan cekap menggantikan pemimpinnya yang gugur, dengan badan pembuat keputusan tertingginya, Majlis Syura, ditugaskan untuk menamakan ketua baharu.
Majlis Syura mewakili semua ahli Hamas di Semenanjung Gaza, Tebing Barat, penjara Israel dan diaspora Palestin yang bermaksud pemimpin baharu seharusnya mempunyai kuasa untuk memasuki rundingan gencatan senjata walaupun dia tidak berada di Gaza, di mana anggota bersenjata Hamas masih menahan berpuluh-puluh warga Israel sebagai tebusan.
Selain Khalil yang merupakan ketua perunding Hamas, pesaing kepimpinan utama yang lain ialah Khaled Meshaal, pendahulu Ismail dan Mohammad Darwish, seorang tokoh yang kurang dikenali yang mempengerusikan Majlis Syura, menurut penganalisis dan sumber Hamas.
Hamas perlu memaklumkan Qatar, yang memainkan peranan utama dalam pusingan rundingan gencatan senjata yang tidak membuahkan hasil setakat ini dan ibu kota serantau lain sebelum keputusannya, kata sumber itu.
Ashraf Abouelhoul, pakar dalam hal ehwal Palestin, menjangkakan tanggungjawab Yahya akan dibahagikan antara dua peranan - satu menyelia hal ehwal ketenteraan dan satu lagi mengendalikan pejabat politik, bertanggungjawab untuk hubungan antarabangsa dan membentuk dasar.
"Iran adalah sekutu terkuat Hamas, yang menyokong kumpulan itu dengan wang dan senjata dan restu mereka adalah kunci kepada siapa yang menjadi pengganti Yahya Sinwar," kata Abouelhoul, editor pengurusan akhbar milik kerajaan Al-Ahram di Mesir.
Beliau menjangkakan Hamas akan berpegang pada tuntutan teras dalam rundingan gencatan senjata akan datang, terutamanya bahawa tentera Israel berundur dari Gaza dan menghentikan perang.
Tetapi ia boleh menunjukkan lebih fleksibiliti pada beberapa syarat, seperti butiran sebarang perjanjian menukar tebusan Israel dengan rakyat Palestin yang dipenjarakan oleh Israel. - Agensi