Kenyataan itu dikeluarkan Baqeri Ali Bagheri Kani semasa mesyuarat tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dianggotai sekumpulan negara dengan populasi majoriti Islam yang bersidang di Arab Saudi untuk membincangkan tindak balas Iran terhadap pembunuhan itu.
Amerika Syarikat (AS) pula dalam masa sama berharap anggota OIC akan memberi amaran kepada Iran agar mengelak daripada mengambil "langkah untuk meningkatkan konflik."
Ketegangan di Timur Tengah meningkat sejak pembunuhan Ismail di Tehran minggu lalu.
Iran dan sekutunya menyalahkan Israel, walaupun Israel tidak memberi sebarang maklum balas mengenai kematian Ketua Biro Politik Hamas itu.
OIC bersidang di Jeddah, Arab Saudi pada hari Rabu, atas permintaan Iran dan Palestin.
Menurut Baqeri Ali, negara-negara anggota OIC lain "adalah dijangka" bahawa mereka menyokong tindak balas Iran terhadap pembunuhan itu.
“Tindakan Iran bukan sahaja mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negaranya sendiri tetapi juga mempertahankan kestabilan dan keselamatan seluruh rantau ini,” kata Baqeri Ali.
Susulan mesyuarat tergempar itu, OIC mengeluarkan kenyataan dengan menegaskan, Israel "bertanggungjawab sepenuhnya" atas "serangan kejam yang disifatkan sebagai "pelanggaran serius" kedaulatan Iran.
OIC, bagaimanapun, tidak menyokong sebarang tindakan ketenteraan Iran.
Pada April lalu, Iran melancarkan lebih daripada 300 peluru berpandu dan dron ke Israel - hampir kesemuanya ditembak jatuh - sebagai membalas serangan terhadap kawasan diplomatiknya di Syria.
Ramai bimbang tindak balas Iran kali ini mungkin akan mengambil pendekatan yang sama.
Pengerusi OIC, Mamadou Tangara yang juga Menteri Luar Gambia berkata, pembunuhan Ismail berpotensi mencetuskan "konflik yang lebih luas yang boleh melibatkan seluruh wilayah."
Pembunuhan pemimpin Hamas itu, jelas beliau, "tidak akan memadamkan perjuangan Palestin malah ia menguatkannya.”
Arab Saudi pula mengulas mengenai pembunuhan itu buat kali pertama pada Rabu melalui kenyataan Timbalan Menteri Luarnya, Waleed Al-Khuraiji yang menyifatkan "pelanggaran terang-terangan" terhadap kedaulatan Iran.
Jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller berharap "semua pihak yang mempunyai hubungan dengan Iran memberi penekanan kepada Iran - dengan cara yang sama yang kami tekankan kepada kerajaan Israel - bahawa mereka tidak seharusnya mengambil sebarang langkah untuk meningkatkan konflik,” kata Miller.
Miller berkata, AS telah berhubung dengan beberapa anggota OIC dan percaya terdapat "konsensus luas" bahawa "peningkatan hanya akan memburukkan lagi masalah yang dihadapi rantau ini".
Usaha diplomatik telah dijalankan sejak awal minggu ini, dengan Presiden AS, Joe Biden berhubung melalui telefon dengan pemimpin Jordan, Qatar dan Mesir pada Selasa.
"Tiada siapa yang harus meningkatkan konflik ini. Kami telah terlibat dalam diplomasi sengit dengan sekutu dan rakan kongsi, menyampaikan mesej itu terus kepada Iran. Kami menyampaikan mesej itu terus kepada Israel," kata Setiausaha Negara AS, Anthony Blinken pada Selasa.
Dalam panggilan telefon pada Rabu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron memberitahu Presiden Iran, Masoud Pezeshkian bahawa peningkatan ketengangan Iran "akan menjejaskan kestabilan serantau secara berpanjangan."
Pezeshkian memberitahu Macron, jika Barat mahu menghalang perang ia "harus segera berhenti menjual senjata dan menyokong" Israel, kata pejabatnya. - Agensi