SEORANG wartawan berusia 65 tahun meninggal dunia selepas tidak diberi rawatan kesihatan walaupun menunjukkan gejala serius virus COVID-19.

Vinay Srivastava dari Lucknow, India merayu kepada beberapa hospital dan doktor untuk diberi rawatan menerusi catatan di akaun Twitter miliknya, namun tidak diendahkan.

Dalam ciapan pada Jumaat lalu, Srivastava memaklumkan tahap oksigennya telah jatuh kepada 52 iaitu 43 mata di bawah tahap normal pada 95.

Catatan dalam bahasa Hindi itu turut menuduh para doktor dan hospital di Uttar Pradesh menunjukkan sifat autokratik dan tidak mengangkat telefon.

Ciapan tersebut ditujukan kepada Ketua Menteri Uttar Pradesh, Yogi Adityanath.

Anak lelakinya, Harshit pula, terpaksa menunggu berjam-jam di hadapan pejabat Ketua Pegawai Kesihatan untuk mendapatkan surat yang diperlukan pesakit COVID-19 sebelum dibenarkan memasuki hospital namun tidak mendapatnya atas alasan keputan ujian swab belum diterima, lapor portal berita ThePrint.

"Saya dapat meminjam sebuah silider oksigen dan saya cuba untuk mendapatkan isian semula namun terpaksa beratur panjang.

"Bapa saya menjalani ujian swab pada Sabtu pagi dan kami hanya akan mendapati keputusan tiga hari selepas itu.

"Tiada hospital akan membenarkan dia memasuki wad tanpa laporan keputusan ujian swab dan surat sokongan daripada Ketua Pegawai Kesihatan, namun dia telah menunjukkan segala simptom virus berkenaan," katanya kepada ThePrint.

Pada Sabtu Srivastava memaklumkan tahap oksigennya telah menurun kepada 31 dan merayu meminta bantuan dalam ciapan terakhirnya di akaun Twitter.


Beberapa jam kemudian, Srivastava meninggal dunia.

"Bapa saya merupakan seorang wartawan selama 30 tahun. Sepanjang kariernya, dia sentiasa menolong sesiapa sahaja yang perlukannya.

"Dia turut menghabiskan duit gajinya untuk membantu mereka yang terkesan dengan pandemik ini.

"Namun apabila dia perlukan bantuan dan sedang bertarung nyawa, tiada siapa yang ingin membantunya," kata Harshit kepada ThePrint.

Pegawai Pentadbiran Lucknow, Dr Surya Pratap Singh kemudian kongsi sebuah foto yang menunjukkan mayat Srivastava dikelilingi ahli keluarga.

Bersama foto berkenaan, Dr Surya berkata rayuan Srivastava tidak diendahkan semasa dia masih hidup dan setelah meninggal dunia, ahli keluarganya terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan perkhidmatan ambulans.

"Saya sangat sedih melihat kes ini yang menunjukkan kerajaan kini dalam keadaan huru-hara," katanya.


Beberapa hospital khas COVID-19 di Uttar Pradesh tidak menerima pesakit tanpa surat sokongan daripada Ketua Pegawai Kesihatan walaupun mempunyai keputusan ujian swab yang menunjukkan dirinya positif virus berkenaan, lapor ThePrint.

Namun sejak kisah kematian Srivastava menjadi tular, Yogi Adityanath telah mengarahkan semua hospital di negeri berkenaan untuk menerima pesakit disyaki dijangkiti COVID-19.

Kes positif COVID-19 di India meningkat mendadak sejak kebelakangan ini menjadikannya negara kedua paling terkesan dengan virus berkenaan selepas Amerika Syarikat.

Beberapa hotel di New Delhi turut dijadikan pusat rawatan COVID-19 selepas semua hospital di ibu negara berkenaan tidak lagi mampu menerima pesakit.