Ringkasan AI
- Polis akan menempatkan 40 pegawai dan anggota di Masjid Al-Muktafi Billah Shah pada Jumaat ini untuk mengawal keselamatan semasa hukuman sebat ke atas Mohd Affendi Awang.
- Orang ramai dinasihati agar tidak berkumpul di sekitar masjid dan keluar segera selepas solat Jumaat. Sebarang rakaman tidak dibenarkan.
- Mohd Affendi dihukum enam kali sebatan kerana kesalahan khalwat berulang, seperti diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada mana-mana individu atau kumpulan yang cuba mencetuskan provokasi kepada petugas atau pesalah pada hari tersebut.
"Hanya 70 individu sahaja dibenarkan memasuki ruangan tempat hukuman sebat dijalankan.
"Saya ingin menasihati orang ramai yang hadir di Masjid Ladang pada Jumaat ini supaya keluar dengan segera setelah selesai menunaikan solat Jumaat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak berkumpul di luar atau di sekitar pekarangan masjid kerana dikhuatiri boleh mengganggu kelancaran proses hukuman yang akan dilaksanakan.
"Sebarang rakaman tidak dibenarkan. Pihak polis akan melakukan pemeriksaan bagi memastikan tiada alatan elektronik atau telekomunikasi di bawa masuk ke ruangan hukuman. Hukuman telah diputuskan. Saya mohon supaya semua pihak menghormati undang-undang dan tidak melakukan kekacauan," katanya.
Jumaat ini, Mohd Affendi Awang, 42, akan menjadi individu pertama di Terengganu yang dihukum dengan enam kali sebatan di khalayak ramai.
Hukuman itu diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu pada 20 Nov lepas setelah lelaki itu mengaku salah atas kesalahan khalwat berulang mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.
-- BERNAMA