KUALA LUMPUR: Hukuman sebatan syariah luar penjara terhadap seorang tukang rumah yang melakukan kesalahan khalwat berulang akan dilaksanakan pada 27 Disember ini.


Ringkasan AI
  • Tarikh Pelaksanaan Hukuman Sebatan: Hukuman sebatan syariah luar penjara terhadap seorang tukang rumah yang melakukan kesalahan khalwat berulang akan dilaksanakan pada 27 Disember ini di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, selepas solat Jumaat.
  • Keputusan Mahkamah: Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu mengekalkan hukuman enam sebatan dan denda RM4,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda, yang diputuskan pada 20 November lalu.
  • Tujuan Hukuman: Hukuman sebatan ini bertujuan memberi pengajaran agar individu lain tidak mengulangi kesalahan yang sama dan menunjukkan perbezaan antara sebatan sivil dan syariah.


Pelaksanaan hukuman sebat sepatutnya dilaksanakan pada 6 Disember lalu namun ditangguhkan susulan permohonan semakan yang  difailkan kepada Mahkamah Rayuan Syariah pada 3 Disember lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah Terengganu, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, berikutan itu pelaksanaan hukuman akan dilakukan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, di sini selepas solat Jumaat.

Jelasnya, Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu yang bersidang pada 11 Disember lalu memutuskan  permohonan semakan yang dibuat adalah teratur dan selaras dengan Seksyen 18 Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001.

Katanya, hasil persidangan itu mahkamah turut memutuskan hukuman enam sebatan dan denda RM4,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda sebagaimana keputusan hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 20 November lalu juga dikekalkan.

Beliau berkata keputusan itu dibuat sebulat suara oleh panel Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu dan maklumat lanjut berhubung prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan hukuman akan dikeluarkan oleh pihak berkuasa sebelum hukuman dilaksanakan kelak.

Tambah Muhammad Khalil, hukuman sebatan yang dikenakan terhadap pesalah jenayah takzir itu adalah sebagai pengajaran agar individu lain tidak melakukan dan mengulangi kesalahan yang sama.

Katanya, pelaksanaan hukuman sebatan takzir  itu juga bertujuan untuk menunjukkan perbezaan antara sebatan sivil dan syariah.


Pada 20 November lalu seorang tukang rumah menjadi individu pertama di Terengganu dikenakan hukuman sebatan di khalayak ramai kerana kesalahan khalwat berulang.


Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail memutuskan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42, mengaku salah terhadap pertuduhan yang dibacakan.

Hukuman sebat dikenakan ke atas tertuduh memandangkan  ia adalah  kesalahan ketiga yang dilakukan tertuduh.