ALOR GAJAH: Polis telah merakam keterangan pemandu lori yang terlibat dengan nahas ngeri yang mengorbankan tujuh individu di kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat sini, malam tadi.


Ringkasan AI
  • Polis telah merakam keterangan pemandu lori yang terlibat dalam nahas di Kilometer 204 Lebuhraya PLUS arah utara yang mengorbankan tujuh individu. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
  • Pihak polis sedang berusaha mendapatkan rakaman papan pemuka yang memaparkan tayar lori tercabut di atas lebuh raya. Orang ramai yang mempunyai rakaman diminta tampil membantu siasatan.
  • Tujuh maut dan 33 cedera dalam kemalangan yang melibatkan sebuah bas, dua lori, dan dua kereta. Mangsa yang maut termasuk pemandu dan penumpang MPV serta pemandu dan penumpang bas.


Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, keterangan pemandu berusia 31 tahun itu diambil bagi membantu siasatan kemungkinan wujud kecuaian yang mengakibatkan tayar hadapan lori terbabit tercabut di atas lebuh raya hingga berlaku tragedi berkenaan.

Ujian saringan air kencing terhadap pemandu itu juga menunjukkan dia bebas daripada pengaruh dadah dan alkohol, kata Ashari ketika dihubungi Astro AWANI.

Sementara itu, Ashari menambah bahawa polis sedang berusaha mendapatkan rakaman papan pemuka yang memaparkan tayar di atas lebuh raya yang tular di media sosial.

Susulan itu, beliau meminta pemilik kenderaan yang merakamkan kejadian itu untuk tampil membantu siasatan.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Kes berkenaan juga, jelasnya, akan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan negeri selepas kertas siasatan diselesaikan.

Sehubungan itu, Ashari meminta semua pihak agar memberi ruang dan masa kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh.

Semalam, ayah kepada pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV), Allahyarham Khairul Ikhwan yang terkorban dalam nahas itu, yakin pihak polis sudah mengumpul bukti dan menjalankan siasatan ke atas nahas yang mengorbankan anak, menantu, cucu, dan dua besannya.

Datuk Mazupi Abdul Rahman percaya pihak berkuasa tidak akan berkompromi dengan individu yang didapati bersalah hingga mengakibatkan kemalangan tersebut.

[INFOGRAFIK] Kronologi nahas Ayer Keroh

Tujuh maut manakala 33 yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas, dua buah lori dan dua buah kereta di kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dari Ayer Keroh menghala ke Simpang Ampat, Melaka.

Mangsa yang maut masing-masing pemandu dan empat penumpang MPV serta pemandu dan seorang penumpang bas.

Orang ramai atau saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di talian 06-5564153 atau 010-8182624 (Pegawai Penyiasat Trafik IPD Alor Gajah, Insp Mohd Azmin Ismail).