KUALA LUMPUR: Ikrar negara-negara maju bernilai AS$100 bilion kepada dana iklim hanya tinggal ikrar.


Ringkasan AI
  • Negara-negara maju telah berikrar untuk menyumbang AS$100 bilion kepada dana iklim, tetapi ikrar tersebut masih belum direalisasi.
  • Terdapat usaha untuk menukar geran iklim kepada bentuk pinjaman, yang akan membebankan negara-negara membangun dengan hutang.
  • Terdapat desakan agar negara-negara maju tidak mengubah krisis iklim menjadi krisis hutang dengan tidak memenuhi ikrar dana iklim mereka.


Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli & Kelestarian Alam (NRES), Datuk Dr. Ching Too a/l Kim berkata ada usaha untuk menukar geran iklim tersebut kepada bentuk pinjaman yang akhirnya perlu ditanggung oleh negara-negara membangun. 

“Negara yang terawal mencapai tahap perindustrian besar-besaran ialah negara-negara Barat, dan mereka merupakan negara yang paling banyak melepaskan karbon. 

“Sekarang mereka perlu membantu negara-negara membangun di Asia dan Afrika untuk mengurangkan kesan pelepasan gas karbon dioksida. 

“Inilah yang disebutkan sebagai pembiayaan iklim. Tetapi, ketika ini negara-negara maju telah menyatakan ikrar untuk menyumbang AS$100 bilion, malangnya ia kekal sebagai ikrar semata-mata. Jumlah duit itu tidak nampak. 

“Ketika ini ada pula ura-ura bahawa mereka hendak tukar sumber kewangan ini daripada geran kepada pinjaman,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.

Agenda AWANI: COP29 - Langkah Malaysia Terajui Dialog Iklim Rantau ASEAN


Tambah Ching Too, ada desakan dalam kalangan negara anggota untuk tidak memburukkan keadaan dengan mengubah krisis iklim menjadi krisis hutang apabila ikrar dana iklim tidak dipenuhi.

Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP 29) di Baku, Azerbaijan berlangsung pada 11 November sehingga 22 November akan datang, dengan sasaran menoktahkan ketidaktentuan mengenai komitmen dana iklim yang dijanjikan.