LEBIH 120,000 penduduk diarah berpindah keluar ketika ribuan kediaman dilanda banjir yang melanda kebanyakan wilayah di China.

Banjir yang berpunca daripada hujan lebat sejak beberapa hari lalu itu turut mengakibatkan kerosakan kepada 470,000 ekar tanaman.

Wilayah Shanxi yang kebiasaannya berdepan musim kemarau, turut terjejas sehingga bandar bersejarah Pingyao yang juga tapak warisan dunia Unesco mengalami kerosakan teruk.

Hujan berterusan sering menjadi ancaman besar bagi struktur binaan kuno yang terletak di bandar tersebut.

Pada masa sama, seramai empat pegawai polis trafik dilaporkan terbunuh ketika bertugas di bandar Linfen, Shanxi akibat tanah runtuh.

Manakala di bandar Shijiazhuang, sebelah utara China, sebuah bas terjatuh ke dalam sungai menyebabkan sekurang-kurangnya dua individu maut dan 12 yang lain hilang.