Kementerian Luar Negeri berkata pendirian ini selaras dengan undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.
Ujar Wisma Putra, pihaknya mengambil maklum mengenai laporan terkini berhubung kehadiran kapal tentera laut asing berhampiran pelantar minyak luar pesisir di Malaysia.
Bagaimanapun, kementerian itu tidak dapat mengulas mengenai ketepatan atau butiran mengenai pergerakan kapal tentera tersebut, kerana perkara ini terletak di bawah pihak berkuasa operasi keselamatan dan pertahanan.
"Pendirian Malaysia terhadap Laut China Selatan kekal konsisten.
"Kami komited untuk mempertahankan kedaulatan, hak kedaulatan, dan kepentingan kami di kawasan maritim kami, seperti yang digariskan dalam Peta Malaysia 1979," jelas Wisma Putra melalui kenyataan media pada Isnin.
Selain itu, selaras dengan dedikasi untuk mengekalkan Laut China Selatan sebagai wilayah keamanan, kestabilan dan perdagangan, Malaysia akan terus terlibat secara diplomatik dengan semua negara yang berkaitan.
"Kami tetap komited untuk menyelesaikan pertikaian melalui cara aman dan mematuhi prinsip yang digariskan dalam Deklarasi Tatalaku Pihak-pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC), yang menekankan kepentingan mengelakkan ancaman atau penggunaan kekerasan," kata kenyataan itu lagi.
Kapal peninjau tentera China dan Pengawal Pantai China (CCG) dilaporkan berlegar di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia, berdekatan pelantar minyak Velesto Energy NAGA 4, milik PETRONAS di Sarawak pada Sabtu.
Pengarah SeaLight.live, Raymond Powell dalam hantaran di media sosial mendakwa kapal frigat ringan 053H3 Jiangwei Kelas Dua itu kali terakhir dikesan berada di Terumbu Ubi selepas Automatic Information System (AIS) dimatikan menyebabkan kedudukan kapal itu tidak lagi dapat dipastikan.
Powell yang berkongsi analisis kedudukan kapal yang berada di kawasan berkenaan turut mendakwa aset Tentera Laut Diraja Malaysia iaitu KD Sundang dan KD Selangor telah digerakkan untuk menyertai aset Maritim Malaysia, KM Arau di Terumbu Ubi.
Pada 30 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan sebagai menggesa nelayan dan pemancing di Laut China Selatan untuk tidak bimbang dengan kehadiran kapal Pengawal Pantai China (CCG), khususnya di kawasan sekitar Beting Patinggi Ali.
Ia disusuli dengan beberapa insiden pertembungan pengawal pantai China dan Filipina yang menjadikan situasi di perairan di pertikaikan itu tegang, dengan yang terkini dilaporkan pada 31 Ogos lalu.
Pada 29 Ogos, sebuah portal media Filipina mendedahkan Nota Diplomatik daripada Kementerian Luar China kepada Kedutaan Besar Malaysia di Beijing pada Februari lepas mengenai bantahan China terhadap aktiviti eksplorasi minyak di Beting Raja Jarum dan Beting Patinggi Ali.