KUALA LUMPUR: Terdapat cadangan daripada beberapa negara untuk menempatkan kilang di Malaysia, bertujuan mendapatkan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebelum produk terbabit dieksport.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah berkenaan dapat mewujudkan peluang pekerjaan dan pemindahan teknologi lebih meluas.

“Umpamanya apabila saya pergi ke China baru-baru ini, beberapa rundingan meja bulat dilakukan. Mereka (China) mahu menggunakan logo JAKIM yang diterima oleh seluruh dunia sebagai lambang untuk pasaran antarabangsa kerana logo ini lebih dipercayai di serata dunia.

“Oleh itu kita telah bekerjasama dengan Halal Development Corporation Bhd (HDC), JAKIM dan agensi tertentu untuk syarikat-syarikat itu diberikan kemudahan melabur di sini (Malaysia). Ertinya ia masih bergantung kepada sijil halal JAKIM untuk diguna pakai bagi produk mereka sebelum dieksport,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Persidangan Perniagaan Halal Sedunia 2024 sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024 di Kuala Lumpur pada Selasa.

Bagi menjayakan usaha berkenaan, beliau telah membuat rancangan dengan kerajaan negeri untuk menyediakan tanah yang akan dibeli atau disewa bagi membolehkan kilang berkenaan didirikan.

Beliau turut memaklumkan kerajaan komited menjadikan Malaysia hab halal global apabila ia pasti menjadi topik perbincangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada setiap kali lawatan rasmi ke luar negara.

Sementara itu, Zahid memberi galakan pemain industri sektor makanan dan minuman (F&B) menggunakan khidmat graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang berkelulusan dalam pensijilan halal bagi menjamin produk mereka memenuhi piawaian JAKIM.

“Ini sesuatu yang baik jika graduan TVET yang tahu selok-belok pengeluaran sijil halal digunakan dan dijadikan sumber dalaman serta luaran bagi mempercepat pengeluaran sijil tersebut diraih.

“Bagi permohonan sijil halal, pada awalnya tempoh yang diambil sembilan bulan tapi penyelarasan dilakukan membolehkan ia dikeluarkan dalam tempoh 23 hari dan kini JAKIM lebih ke hadapan dengan hanya mengambil masa 15 hari bekerja untuk memberi kelulusan dengan syarat semua dokumen dan peraturan dipatuhi,” ujarnya.

Beliau berharap usaha diplomasi halal itu dapat mewujudkan hubungan antarabangsa yang kukuh bagi memenuhi permintaan yang pelbagai dan dapat mencapai matlamat bersama.