SEREMBAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan pihak yang ada cadangan dan prihatin berkaitan pensijilan halal, supaya membawa perkara itu untuk dibincangkan dan diteliti dalam mesyuarat.


Ringkasan AI
  • Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan agar cadangan dan kebimbangan berkaitan pensijilan halal dibawa ke mesyuarat untuk dibincangkan dan diteliti, bukan dijadikan isu kontroversi.
  • Beliau menekankan pentingnya menjaga sensitiviti agama dan kaum serta mengekalkan keharmonian yang terbina di negara ini.
  • Negara berada dalam keadaan baik dari segi ekonomi dan politik, dan mendapat penghargaan dunia. Oleh itu, isu-isu yang boleh merosakkan keadaan ini perlu dielakkan.


Menjawab pertanyaan media berhubung kenyataan individu tertentu berkaitan pensijilan halal, beliau berkata perkara yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum tidak perlu dijadikan isu sehingga menimbulkan kontroversi.

"Ini pandangan individu, kalau ada cadangan, ada concern, bawa dalam mesyuarat dan kita teliti...tak payah jadi begini menimbulkan kontroversi.

Turut hadir, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan timbalannya Datuk Seri Ahmad Maslan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Seri Hasni Mohammad.

Perdana Menteri berkata perkara berkaitan agama dan keharmonian yang terbina di negara ini perlu terus terpelihara dengan baik.

Beliau berkata negara juga dalam keadaan baik dari aspek ekonomi dan politik serta mendapat penghargaan dunia yang perlu diberikan perhatian demi pembangunan rakyat keseluruhannya.

"Kita kena jaga sentimen orang Islam dan bukan Islam. Cara dia runding cara elok. Bukan nak tunjuk kehebatan masing-masing.

"Negara kita dalam keadaan baik sekarang, politik stabil dan penghargaan dunia juga baik, kenapa perkara ini nak dirosakkan?" katanya.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dilapor mempertimbangkan cadangan mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok kemudian dilapor menyatakan cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan seperti itu mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan, termasuk membabitkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

-- BERNAMA