KOTA KINABALU: Usahawan Sabah disaran mendaftar bagi mendapatkan sijil halal untuk meneroka potensi besar industri halal di negeri itu, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata Sabah memiliki potensi yang besar dalam industri halal berdasarkan sumber bahan mentah dan barangan separa siap yang banyak, selain kedudukan strategik dan geografinya luas.

Katanya setakat ini hanya sekitar 350 syarikat atau usahawan di Sabah memperoleh sijil halal mengikut maklumat Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) Halal Hab, dan jumlah itu perlu ditingkatkan bagi membolehkan mereka menyertai pelbagai program keusahawanan halal yang disediakan kementerian.

"Saya sangat mengalu-alukan komitmen kerajaan Sabah khususnya melalui MUIS Halal Hab untuk meningkatkan jumlah ini dan kementerian akan membantu apabila mereka mengemukakan permohonan (menyertai program pembangunan keusahawanan halal).

"Tiidak ramai usahawan Sabah yang mengemukakan permohonan mendapatkan sijil halal kepada kementerian bagi mengikuti inisiatif mahupun program anjuran kementerian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Kesedaran Halal Usahawan MADANI Sabah: Pensijilan Halal Usahawan/Pensijilan Halal Industri Kotej 2024 di sini hari ini.

Seramai 168 usahawan Sabah menyertai bengkel dua hari berakhir esok dalam memacu pembangunan industri halal secara bersasar; meningkatkan keupayaan usahawan dan koperasi dalam menghasilkan produk serta perkhidmatan halal berdaya saing; serta meningkatkan bilangan usahawan Sabah mendapat sijil halal.

Ewon berkata kerjasama erat dengan Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah serta MUIS Halal Hab diharap dapat memperkasa program pensijilan halal dalam kalangan usahawan bagi membantu pemilikan sijil halal dan membangunkan potensi produk sehingga peringkat antarabangsa.

Terdahulu, Ewon dalam ucapannya berkata Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyediakan pelbagai program pembangunan keusahawanan halal termasuk pensijilan halal, bantuan pembiayaan dan geran untuk membantu para usahawan di seluruh negara.

Katanya ini termasuk bantuan pembiayaan sehingga RM10,000 bagi menampung kos pematuhan syarat-syarat pensijilan halal seperti kursus kesedaran dan pensijilan halal kepada pekerja-pekerja syarikat, kos khidmat rundingan, perkhidmatan analisis produk dan fi pensijilan.

Beliau berkata KUSKOP juga menyediakan bantuan pembiayaan sehingga RM30,000 bagi menampung kos pembangunan jenama produk, penyediaan prototaip dan menaik taraf rekabentuk pembungkusan dan pelabelan setiap produk usahawan melalui Program Pembangunan Kapasiti Produk Halal.

"Program Inovasi dan Teknologi Halal adalah untuk usahawan-usahawan yang telah memiliki pensijilan halal dan mahu meningkat keberhasilan produk serta perkhidmatan halal berteraskan inovasi dan teknologi.

"Program ini menyediakan geran pembiayaan bagi mengadaptasi inovasi dan teknologi halal dalam meningkatkan produktiviti produk halal meliputi aspek pemindahan teknologi, bantuan pembelian mesin, digitalisasi dan pembangunan penyelidikan serta pengkomersialan produk," katanya.

Ewon berkata kementeriannya turut menyediakan geran bantuan sehingga RM200,000 kepada usahawan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) yang mematuhi kriteria ditetapkan, selain melaksanakan Program Pengantarabangsaan Usahawan Halal bagi membantu usahawan PMKS yang telah stabil dan sedia untuk mengeksport.

Katanya ia bertujuan mengukuhkan jenama halal Malaysia di pasaran antarabangsa, menyediakan akses produk dan perkhidmatan halal dan membina jaringan perniagaan serta pemasaran produk dan perkhidmatan halal Malaysia di persada antarabangsa.

"KUSKOP menyediakan bantuan melalui pembiayaan melibatkan penyertaan usahawan PMKS dalam ekspo dan pameran perdagangan antarabangsa serta pendaftaran produk di luar negara," katanya.

Mengenai pensijilan halal, Ewon berkata ia adalah satu jaminan kualiti kepada pengguna bahawa produk atau perkhidmatan yang disediakan oleh usahawan dan koperasi bersih serta selamat digunakan selain memenuhi keperluan dari segi syariat Islam.

"Dalam aspek perniagaan pula, usahawan boleh meluaskan rangkaian pasaran produk dan perkhidmatan bukan sahaja di Malaysia malah ke peringkat antarabangsa," katanya.

-- BERNAMA