WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mengisytiharkan 9 Jan 2025 sebagai Hari Berkabung Nasional bagi memperingati pemergian bekas Presiden Jimmy Carter, menurut kenyataan White House, lapor Sputnik/RIA Novosti.


Ringkasan AI
  • Presiden Joe Biden mengisytiharkan 9 Januari 2025 sebagai hari berkabung nasional bagi memperingati pemergian bekas Presiden Jimmy Carter.
  • Rakyat Amerika dan masyarakat global diajak untuk berhimpun di tempat ibadah masing-masing bagi memberi penghormatan kepada Carter. Majlis penghormatan akan diadakan di Washington.
  • Bekas Presiden Jimmy Carter akan disemadikan di Plains, Georgia. Carter meninggal dunia pada usia 100 tahun pada Ahad.


"Saya dengan ini mengisytiharkan 9 Jan 2025 sebagai Hari Berkabung Nasional di seluruh Amerika Syarikat.

"Saya menyeru rakyat Amerika untuk berhimpun pada hari itu di tempat ibadah masing-masing bagi memberi penghormatan kepada James Earl Carter, Jr. Saya juga mengajak masyarakat global yang berkongsi rasa kesedihan kami untuk bersama-sama dalam upacara berkabung ini," menurut White House dalam satu kenyataan.

White House kini sedang membuat persiapan untuk majlis bagi bekas Presiden ke-39 itu, yang dijadual diadakan di Washington, seperti yang diumumkan Biden dalam ucapannya kepada rakyat Amerika.

Bekas Presiden itu akan disemadikan di Plains, Georgia, menurut laporan akhbar New York Times.

Carter, Presiden AS ke-39 yang berkhidmat dari 1977 hingga 1981, meninggal dunia pada usia 100 tahun pada Ahad.

-- BERNAMA