Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden menzahirkan penghormatan atas pengorbanan tentera AS sempena memperingati ulang tahun ke-83 serangan ke atas Pearl Harbor pada Jumaat.

Dalam ucapan beliau di White House, Biden menceritakan perkhidmatan ketenteraan bapa saudaranya dalam serangan ke atas Pearl Harbor, dan surat ucapan takziah daripada Jeneral MacArthur, memaklumkan bapa saudaranya Ambrose Finnegan meninggal dunia semasa berjuang dalam misi untuk mencipta dunia yang lebih baik untuk semua.

"Serangan ke atas Pearl Harbor, sejak kecil saya sering mendengar tentang peristiwa itu. Ia benar-benar mengubah masa depan dunia, negara kita, dan juga keluarga kami.

"Seperti ramai wanita dan lelaki berani di negara ini, sejurus selepas serangan itu, ibu saya, yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik, menyaksikan kesemua abang-abangnya bertindak segera. Pada hari Isnin berikutnya, mereka semua mendaftar untuk menyertai angkatan tentera AS.

"Salah seorang daripada mereka, salah seorang bapa saudara saya, adalah seorang juruterbang yang terkorban dalam peperangan. Seorang lagi ditolak kerana masalah kesihatan yang serius. Bapa saudara saya, Ambrose Finnegan, menyertai Tentera Udara AS dan terlibat dalam beberapa misi di seluruh Pasifik. Pada tahun 1944, semasa salah satu misi tersebut, pesawatnya terhempas di pesisir pantai Papua New Guinea," katanya.

Tambah beliau, Jeneral MacArthur, yang ketika itu mengetuai pasukan AS di Pasifik Selatan, menghantar sepucuk surat takziah kepada keluarga Biden untuk menghormati pengorbanan bapa saudaranya.

"Dalam surat itu, beliau menulis, bapa saudara saya gugur dalam satu perjuangan suci, satu perjuangan yang akan melahirkan dunia yang lebih baik untuk semua. Saya percaya, dunia yang lebih baik itu wujud, tetapi hanya kerana pengorbanan ramai yang tidak terhingga nilainya," katanya.

Dalam pada itu, Biden turut menekankan AS kini berada di persimpangan penting, sama seperti ketika Perang Dunia Kedua, sambil menyatakan, keputusan yang akan diambil kelak bakal membentuk masa depan AS untuk beberapa dekad akan datang.