Ishiba berkata persekitaran pelaburan yang mesra adalah penting bagi memastikan keselamatan ekonomi dalam kalangan sekutu dan rakan kongsi.
Menurut Agensi Berita Kyodo, Ishiba membuat kenyataan itu semasa sidang kemuncak tiga pihak secara maya yang turut melibatkan Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr, dengan ketiga-tiga pemimpin bersetuju untuk terus bekerjasama menangani isu keselamatan, membangunkan infrastruktur yang kukuh, dan merealisasikan peraturan antarabangsa di rantau Indo-Pasifik.
Biden sebelum ini menghalang cadangan pengambilalihan US Steel oleh Nippon Steel Corp dari Jepun atas alasan keselamatan negara.
Sebelum pertemuan maya itu, Ishiba berkata Jepun, yang merupakan sekutu keselamatan lama AS, akan mendapatkan penjelasan lanjut mengenai keputusan itu.
Dalam perbincangan selama kira-kira 25 minit itu, Ishiba menekankan kepentingan kerjasama antara sekutu dan rakan sehaluan dalam membina rantaian bekalan yang kukuh serta memastikan negara mereka menjadi destinasi pelaburan yang menarik bagi syarikat, bagi menjamin keselamatan ekonomi, menurut Kementerian Luar Jepun.
Sidang kemuncak secara dalam talian itu diadakan sebelum Presiden Terpilih AS Donald Trump, kembali ke White House pada 20 Jan ini menggantikan Biden.
Presiden yang bakal berundur itu telah menganjurkan sidang kemuncak pertama melibatkan AS, Jepun, dan Filipina, dua sekutunya di Asia, pada April tahun lepas.
-- BERNAMA