ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 13 Disember 2024.


1. Palestin sambut baik Ireland sertai kes genosid ke atas Israel di ICJ

Palestin memuji Ireland kerana menyertai kes genosid yang dibawa Afrika Selatan ke atas Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan menggesa lebih banyak negara untuk menyertai kes itu.



2. Yoon pertahan undang-undang tentera, tolak dakwaan lakukan pemberontakan

Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, mempertahankan pengisytiharan undang-undang tentera yang kontroversi sebagai tindakan pentadbiran dan menafikan tuduhan pemberontakan terhadapnya, sambil berikrar untuk berjuang hingga ke saat akhir sama ada berkaitan pendakwaan atau siasatan terhadap pengisytiharan itu.


3. AS umum pakej bantuan ketenteraan US$500 juta untuk Ukraine

Amerika Syarikat mengumumkan pakej bantuan ketenteraan baharu bernilai US$500 juta untuk Ukraine bagi menyokong usaha pertahanan negara itu dalam menghadapi serangan berterusan Rusia.


4. Lula mahu tanding semula pilihan raya presiden 2026

Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva akan bertanding semula dalam pilihan raya presiden pada 2026, menurut Setiausaha Komunikasi Sosial Presiden, Paulo Pimenta.


5. Tujuh maut dalam kebakaran hospital di Tamil Nadu

Sekurang-kurangnya tujuh orang dilaporkan maut manakala ramai lagi cedera dalam insiden kebakaran di sebuah hospital di Dindigul, Tamil Nadu, India.


6. Misteri 'fenomena UFO' undang resah

Misteri kemunculan dron di ruang udara New Jersey telah mengundang kebimbangan komuniti di negeri timur laut Amerika Syarikat (AS).


7. Kerajaan Syria gantung Perlembagaan, Parlimen tiga bulan

Jurucakap kerajaan baharu Syria mengumumkan pada Khamis bahawa Perlembagaan dan Parlimen negara itu akan digantung selama tempoh peralihan tiga bulan selepas penyingkiran Presiden Bashar al-Assad.


8. Trump dinobat 'Person of the Year' majalah Time

Majalah Time menobatkan Presiden Pilihan Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sebagai 'Person of the Year' kerana kesannya yang ketara terhadap politik dan peranan negara itu di peringkat global.


9. WFP rayu dana segera untuk bantu jutaan penduduk Syria

Program Makanan Sedunia (WFP) merayu dana segera bagi memperluaskan operasi bantuan kepada 2.8 juta rakyat yang terjejas dan berdepan krisis makanan di Syria, lapor Agensi Berita Emiriah (WAM).


10. Kekayaan Musk dianggarkan melebihi AS$400 bilion

Elon Musk menjadi individu pertama dengan anggaran kekayaan melebihi AS$400 bilion.