ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Rabu, 10 Mac 2021.


1. Elak soalan yang tak disukai, PM Thailand sembur wartawan dengan cecair sanitasi

Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-ocha meninggalkan sekumpulan petugas media dalam keadaan terpinga-pinga apabila beliau mengakhiri sesi sidang medianya dengan menyemburkan cecair sanitasi tangan ke arah wartawan kerana tidak mahu emnjawab soalan yang tidak disukainya.


2. Selepas kritik Meghan Markle, Piers Morgan tinggalkan Good Morning Britain

Pengacara Piers Morgan membuat keputusan meninggalkan program popular yang dikendalikannya, Good Morning Britain susulan kritikannya terhadap Meghan Markle. Morgan mendakwa, Meghan dan suaminya, Putera Harry yang juga cucu Ratu Elizabeth telah menjejaskan institusi diraja Britain selain mencari publisiti.

3. Separuh rakyat Syria kehilangan saudara terdekat - ICRC 

Berdasarkan kajian daripada Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), satu daripada enam belia pula mengatakan sekurang-kurangnya seorang daripada ibu atau bapa mereka terbunuh atau cedera parah akibat krisis itu.

4. COVID-19: Kes positif seluruh dunia lebih 117.4 juta

Jumlah kumulatif kes positif COVID-19 seluruh dunia kini melebihi 117.4 juta kes. Ia berikutan lebih ratusan ribu kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lepas.

5. Tsunami Jepun 2011: Sedekad berlalu, pilu masih bertamu

Gempa bumi dan tsunami pada 2011 mengorbankan hampir 20,000 orang di pesisir pantai Pasifik Jepun, lebih 400 kilometer timur laut Tokyo.Ulang tahun ke-10 tragedi itu menjadi acara nasional bagi Jepun, dengan orang kenamaan lengkap berpakaian warna hitam, berkumpul dan bertafakur di sebuah teater di Tokyo.

6. Satu per tiga wanita seluruh dunia pernah mengalami keganasan domestik - WHO

Nisbah seorang daripada tiga wanita di seluruh dunia didapati berdepan keganasan fizikal atau seksual dalam kehidupan mereka. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan kajian itu sebagai sesuatu yang membimbangkan.

7. 'Demam hijau' mengujakan Thailand, kini kanabis jadi tanaman berharga

Reuters melaporkan, kerajaan Thailand telah membenarkan ekstrak daripada pokok ganja digunakan dalam makanan dan kosmetik dalam usaha terbaharu mempromosi tanaman bernilai tinggi berkenaan.

8. Pendedahan Meghan: Keluarga Diraja mahu tangani isu secara tertutup

Susulan pendedahan Putera Harry dan isterinya Meghan menerusi temu ramah dengan Oprah Winfrey. Ratu Elizabeth berjanji akan menangani isu diskriminasi perkauman yang dibangkitkan pasangan itu.

9. Kes Bicara Floyd: Pemilihan juri perbicaraan kes George Floyd

Pemilihan juri bagi perbicaraan berprofil tinggi membabitkan kes pegawai polis berkulit putih didakwa membunuh lelaki kulit hitam, George Floyd, bersambung hari ini selepas ditangguhkan pada Selasa. 

10. Unjuran OECD: Tingkat imunisasi COVID-19 untuk buka ekonomi

Negara di serata dunia perlu percepatkan pelaksanaan program imunisasi untuk keluar daripada krisis ekonomi ketika ini. Menurut Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi, OECD ini termasuk menerusi lebih banyak perlesenan dan pemindahan teknologi berkenaan vaksin COVID-19.