MEXICO CITY: Seramai 27 orang terbunuh manakala puluhan ribu terpaksa meninggalkan kediaman mereka di Republik Dominika akibat banjir pada hujung minggu lepas, kata Pusat Operasi Kecemasan (COE) negara itu pada Rabu, lapor Sputnik.

"Sektor kesihatan melaporkan hujan lebat, banjir di kawasan bandar dan luar bandar serta jejambat dan jambatan runtuh menyebabkan kematian 27 orang," kata COE dalam buletin terbarunya.

COE berkata amaran banjir telah pun ditarik balik di kebanyakan wilayah.

Pihak berkuasa itu berkata banjir mengakibatkan lebih 7,400 bangunan kediaman terjejas dengan 36 daripadanya musnah sebahagian atau sepenuhnya.

Selain itu, kira-kira 37,000 orang penduduk meninggalkan rumah mereka manakala 55 penempatan masih terputus hubungan.

COE berkata banjir juga mengakibatkan lapan jalan raya rosak serta lima jambatan musnah.

Selain itu, hampir 365,000 isi rumah masih tiada bekalan air minuman.

-- BERNAMA