Itu keluhan penduduk Taman Ashraf di sini yang mengalami kenaikan air mendadak sejak benteng sepanjang kira-kira 20 kilometer dibina merentasi kawasan itu.
Benteng yang dibina untuk menjadi penebat banjir itu, kini menghalang air daripada mengalir keluar ke kawasan sekitar.
Salah seorang penduduk, Khairil Anuar Khalid berkata, sejak benteng itu siap dibina pada 2022, kenaikan paras air merupakan terburuk yang pernah dilihat sejak 23 tahun dia menetap di situ.
“Sebelum ada benteng, apabila air sungai melimpah, ia akan bergerak ke arah sana, di Lubok Jong. Apabila benteng dibina, air di sini tak boleh ke sana, ia ditendang ke sini semula.
“Depan rumah saya, air paras leher saya. Ketinggian saya 177cm, sudah dekat enam kaki.
“Setiap tahun, ketinggian air naik satu kaki. Saya ada buat papan tanda depan rumah saya untuk ukur ketinggian air.
“Tahun ini, papan tanda itu pun dah tenggelam,” katanya.
Penduduk di situ berkata, berkali-kali keluhan mereka disampaikan kepada pihak berkuasa, namun tiada tindakan diambil sehingga ke hari ini.
Kawasan itu, yang menempatkan beberapa taman perumahan, menerima air dari Empangan Tok Uban dan Sungai Golok setiap kali hujan lebat.
Akibatnya, mereka kini ibarat terperangkap dalam tasik buatan manusia apabila musim banjir tiba.
Seorang lagi penduduk, Adnan Husin berkata, keadaan begitu mendesak sehingga ada penduduk yang bertindak memecahkan benteng tersebut untuk membolehkan air mengalir keluar.
“Sepatutnya Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) panggil setiap wakil kampung dan bagi penerangan, tanya pendapat kami, ini tidak, mereka terus buat saja.
“Itu yang penduduk di sini panggil 'benteng puaka', lekat nama itu sampai sekarang.
“Macam mana tak puaka, sampai hanyut rumah kami, barang-barang kami."
Mahadi Ismail pula berkata, sepanjang 49 tahun usianya, dia baru mengenali erti berpindah-randah pada umur 48 tahun, selepas berpindah ke kawasan itu.
“Yang jadi mangsanya rakyat di sebelah sinilah, sentiasa hidup dalam ketakutan.
“Apabila hujan lebat, rasa gerun. Nak tidur malam pun tak boleh,” ujarnya.
Tambah Mahadi, ramai penduduk di situ tidak berani membeli barang baharu kerana khuatir akan dihanyutkan setiap kali paras air meningkat.
“Ada sesetengah penduduk yang masih tidur atas ‘toto’ yang diperoleh dari Pusat Pemindahan Sementara (PPS), rumah kosong, takut nak letak barang."
Malah, dia sendiri menanggung kerugian ribuan ringgit apabila beberapa lembu ternakannya mati atau hilang akibat kenaikan air di kawasan itu.
“Kami mintalah kerjasama kerajaan, kasihanilah kami di sini. Selesaikanlah masalah benteng ini.
“Saya tak pernah sebut benteng puaka. Hari ini saya sebut.
“Kerajaan tolong selesaikanlah masalah benteng puaka ini, agar ia tidak menjadi puaka lagi,” katanya.