Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 38 orang daripada 10 keluarga setakat jam 8 malam, berbanding 31 orang pagi tadi.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua mangsa adalah dari daerah Pasir Mas dan kini ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Gual Tok Deh.
Sementara itu, portal Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan paras air Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi tahap bahaya tetapi menunjukkan trend menurun iaitu 9.39 meter (m) berbanding 9.80m pada pagi tadi.
Di PERAK, mangsa banjir malam ini berkurangan kepada 307 mangsa daripada 59 keluarga, berbanding 399 mangsa daripada 86 keluarga pagi tadi dan mereka ditempatkan di PPS Dewan Kampung Asli Chinggung di daerah Muallim.
Sekretariat Jawatankuasa Bencana Negeri Perak memaklumkan bahawa PPS Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Sekiah, yang sebelum ini menempatkan 21 mangsa, telah ditutup sepenuhnya pada pukul 2 petang tadi.
Di JOHOR, jumlah mangsa banjir kekal seramai 69 orang daripada 17 keluarga sejak jam 8 pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan semua mangsa terjejas masih berada di dua PPS yang beroperasi di daerah Kota Tinggi.
"Sebanyak 42 orang daripada 12 keluarga berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan Gembut, manakala 27 orang daripada lima keluarga ditempatkan di Balai Raya Kampung Perpat. Selain itu, hanya stesen Sungai Simpang Kanan di Parit Belemam, Batu Pahat, merekodkan paras amaran dengan bacaan 2.31m," katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa keadaan cuaca diramalkan cerah di enam daerah, manakala Pontian, Segamat dan Kulai dijangka mendung dan Batu Pahat pula diramalkan hujan pada malam ini.
-- BERNAMA