Di KELANTAN, hanya satu PPS masih aktif di Rantau Panjang setakat 8.30 pagi ini dengan 31 mangsa daripada sembilan keluarga berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan Gual Tok Deh.
Portal infobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula mencatatkan Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya iaitu 9.80 meter berbanding paras bahaya 9.0 meter.
Di JOHOR pula, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata mangsa banjir di daerah Kota Tinggi kekal 69 orang daripada 17 keluarga yang ditempatkan di dua PPS.
Beliau berkata 42 mangsa daripada 12 keluarga masih berada di PPS Sekolah Kebangsaan Gembut manakala 27 mangsa daripada lima keluarga lagi berlindung di Balai Raya Kampung Perpat.
Di PERAK, Sekretariat Jawatankuasa Bencana Negeri Perak memaklumkan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan pagi ini meningkat kepada 399 orang daripada 86 keluarga, berbanding 52 orang daripada 11 keluarga malam tadi.
Kesemua mereka berlindung di Dewan Kampung Asli Chinggung dan Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Sekiah, Muallim, manakala paras Sungai Slim kini berada pada paras bahaya iaitu 25.41 meter berbanding paras biasa 23.50 meter.
-- BERNAMA