Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KESUMA, Datuk Sutekno Ahmad Belon berkata, antara bantuan yang dilakukan pihaknya ialah membaiki barangan elektrik yang terjejas akibat banjir, kerja-kerja pembersihan dan menyampaikan bantuan bakul makanan.
"Kami turut menyediakan pegawai dan pelajar untuk membaiki alat elektrik yang rosak sehingga ia boleh digunakan semula," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Skuad Ihsan Madani Wira KESUMA di Masjid Haji Abdullah Mukim Panglima Bayu, di sini, pada Ahad.
Terdahulu, seramai 200 sukarelawan bergotong-royong membersihkan masjid berkenaan termasuk membaiki peralatan elektrik dan melakukan pemeriksaan pendawaian di masjid berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya turut menyampaikan bantuan bakul makanan kepada 125 penduduk yang terkesan akibat banjir yang melanda Kampung Panglima Bayu pada 29 Dis tahun lepas. - BERNAMA