KABUL: Jumlah keseluruhan perdagangan Afghanistan pada 2024 melebihi US$12 bilion, mencatatkan peningkatan 38 peratus dalam import berbanding tahun sebelumnya dan penurunan empat peratus dalam eksport, menurut Kementerian Perdagangan dan Industri negara itu, lapor Xinhua yang memetik laporan media.

"Skala perdagangan barangan Afghanistan pada 2024 bernilai US$12.42 bilion, dengan eksport mencapai US$1.8 bilion manakala import berjumlah kira-kira US$10.6 bilion," kata jurucakap kementerian, Akundzada Abdul Salam Jawad, seperti dipetik media tempatan TOLOnews pada Ahad.

Beliau berkata, eksport Afghanistan ke Iran, Kazakhstan, Uzbekistan, dan Emiriah Arab Bersatu meningkat dua kali ganda pada 2024.

Produk pertanian, makanan diproses, tekstil, barangan kulit, komponen elektrik, dan bahan binaan merupakan barangan paling banyak menerima permintaan daripada pengimport Afghanistan.

Sementara itu, eksport utama Afghanistan termasuk arang batu, safron, buah-buahan segar dan kering, permaidani buatan tangan, serta batu permata dan separa permata. - BERNAMA