RANTAU PANJANG: Keadaan mendesak kadangkala menyerlahkan sisi kreatif manusia.

Bagi Rosdi Abdullah yang ditemui di Kampung Gual To’deh di sini, dia sudah 'muak' kerana kawasan kediamannya sering ‘terkepung’ dengan air yang naik sehingga ke paras lutut setiap kali banjir melanda.

Meskipun begitu, daripada hanya terus mengeluh dengan nasib yang menimpa, Rosdi mengambil inisiatif sendiri untuk membina jambatan dari pintu hadapan rumahnya, sehingga ke jalan raya.

Katanya, keterdesakan telah memaksanya bertindak kreatif untuk memastikan dirinya dapat keluar dari rumah untuk membeli makanan dan barangan asas buat keluarganya.

“Mula-mula saya terfikir, macam mana saya nak pergi ke jalan raya, nak beli nasi pagi-pagi.

“Kemudian saya teringat saya ada simpan besi cerucuk di rumah. Saya pun keluarlah duit untuk beli kayu.

“Kemudian saya pun bina ‘jejantas’ ini. Permulaannya (dibina) pada 2018, sampai hari ini dah masuk 1 Januari 2025,” katanya.

Foto: Astro AWANI/Firdaus Mohari

Ujar Rosdi, pembinaan jambatan itu mengambil masa dua minggu, dengan semua kosnya ditanggung sendiri.

“Semua saya buat sendiri dengan duit sendiri, duit poket... untuk saya ke masjid, nak keluar beli makan.

“Saya keluar duit semua sekali RM3,000, untuk besi cerucuk, kayu, dan sebagainya,” katanya.

Katanya, apabila air surut, dia mengambil peluang untuk menggantikan kepingan kayunya untuk memastikan binaan itu kekal kukuh untuk banjir seterusnya, yang boleh tiba pada bila-bila masa.

Foto: Astro AWANI/Firdaus Mohari

Tambah Rosdi, jambatan itu bukan sekadar penghubung yang membolehkannya meneruskan kehidupan seharian, ia  penting kerana dia dan ibunya, yang berusia 96 tahun, sukar berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Susah orang tua nak duduk PPS, nak buang air besar, air kecil, susah sebab ramai orang.

“Jadi saya pun rela keluar rumah untuk tukar rumah jadi ‘PPS’ sendiri,” katanya.

Rantau Panjang menjadi satu-satunya daerah di Pantai Timur yang masih terkesan dengan banjir gelombang ketiga.

Setakat petang Rabu, daerah itu masih mempunyai sebuah PPS yang menempatkan 38 mangsa daripada 10 keluarga.