PASIR MAS: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Kelantan memohon sokongan tambahan daripada kerajaan untuk lebih bersedia menghadapi sebarang gelombang susulan banjir.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Pasir Mas, Azizan Aziz berkata, sewaktu gelombang pertama melanda jajahan itu November lalu, setiap seorang anggotanya perlu mengendalikan 1,000 orang mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Katanya, ini merangkumi semua aspek pengurusan mangsa setibanya mereka di PPS, termasuk pendaftaran, sokongan psikologi, dan gerak atur penghantaran bantuan.

“Kami di sini sangat kekurangan kakitangan. 38 anggota perlu menjaga 38,000 mangsa di PPS. Nisbahnya 1:1000.

“Jadi kakitangan kami perlu lakukan banyak pengorbanan, bekerja lewat malam, bekerja 24 jam, tak cukup rehat dan tidur,” katanya.

Azizan yang merupakan seorang Orang Kuraya Upaya (OKU) berkata, beliau sendiri tidak pulang ke rumah selama lima hari sewaktu gelombang pertama melanda Kelantan pada 24 November lalu, akibat kekurangan anggota untuk mengendalikan kesemua 70 PPS di Pasir Mas.

Beliau turut meminta peranan JKM diteliti semula sewaktu musim bencana, yang masih perlu menjalankan tugas hakiki mereka sambil mengendalikan mangsa banjir yang naik mendadak di PPS.

“Saya memohon Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menilai kembali peranan JKM dalam pengurusan bencana.

“JKM ada lapan kumpulan sasar jabatan iaitu warga emas, OKU, kanak-kanak, pesalah muda, mangsa keganasan rumah tangga, mangsa bencana dan pengemis.

“Pengurusan bantuan, warga emas, OKU, kanak-kanak, semua kita kena uruskan. Jadi saya harapkan (perkara ini) bukan setakat di Pasir Mas, tetapi di seluruh Malaysia,” ujarnya.

Pada kemuncaknya pada 24 November lalu, mangsa banjir di Pasir Mas meningkat hingga lebih 38,000 orang, yang ditempatkan di 70 PPS di sekitar jajahan itu.