COLOMBO: Sejumlah 226 penduduk daripada 36 isi rumah di ibu negara Maldives, Male, telah dipindahkan ke pusat perlindungan sementara akibat banjir teruk yang berpunca daripada hujan berterusan, lapor PSM News yang memetik kenyataan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara (NDMA) Maldives pada Sabtu.

PSM melaporkan banjir itu telah menyebabkan kerosakan pada harta benda kediaman dan komersial serta kenderaan di jalan raya.

Setakat pagi Sabtu, Angkatan Pertahanan Nasional Maldives telah mengepam keluar 30,569 tan air dari jalan-jalan di Male bagi mengurangkan kesan banjir, menurut PSM.

NDMA menerima 774 permohonan bantuan daripada isi rumah dan perniagaan di Male, termasuk permintaan untuk meletakkan beg pasir di pintu masuk rumah dan premis komersial.

Pejabat Meteorologi Maldives memberi amaran bahawa keadaan cuaca buruk dijangka berterusan di kebanyakan kawasan di negara itu pada Sabtu.

-- BERNAMA