PUTRAJAYA: Kerajaan melihat sektor ketiga dalam kewangan Islam seperti institusi zakat, wakaf dan infak berperanan besar dalam memastikan pembangunan ekonomi yang mampan dan saksama di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Berucap merasmikan Forum Serantau YaPEIM (FSY) 2024 di sini hari ini, beliau berkata institusi berkenaan antara institusi sektor ketiga yang boleh digembleng untuk mencapai tujuan itu.

"Walaupun semua institusi ini di bawah seliaan kerajaan, ia menerima sumbangan sama ada dalam bentuk zakat, wakaf atau infak daripada khalayak ramai dan sumbangan ini digunakan oleh agensi ini mengikut kaedah yang telah ditentukan," katanya.

Beliau berkata selain itu sektor ketiga mampu menyokong pembangunan ekonomi dengan mencipta peluang pekerjaan dan memberi sokongan kepada perniagaan nano, mikro dan kecil.

"Melalui program yang dirancang bagi meningkatkan kemahiran dan keupayaan, sektor ini dapat membantu memperkukuh ekonomi melalui peningkatan peranan perusahaan nano, mikro dan kecil.

"Dengan penyediaan latihan dan pendidikan kepada individu, sektor ketiga dapat membantu meningkatkan kemahiran tenaga kerja. Ini bukan sahaja boleh memberi manfaat kepada individu malah kepada ekonomi secara keseluruhan dengan menghasilkan tenaga kerja lebih berkemampuan," katanya.

Fadillah berkata tahap tadbir urus sektor ketiga perlu berada di peringkat setinggi yang mungkin kerana ia adalah sektor yang menerima sumbangan daripada rakyat untuk diagihkan kepada rakyat.

"Dengan memperakui bahawa sektor ketiga memainkan peranan sangat penting bagi pembangunan ekonomi yang menyokong kepada kesejahteraan masyarakat, terdapat keperluan untuk terus memastikan tatakelola institusi infak berada di tahap cemerlang bagi memastikan keberkesanan dan kepercayaan masyarakat terus diperoleh.

"Antara isu utama berkaitan tadbir urus infak ialah ketelusan dan akauntabiliti. Masyarakat perlu diyakinkan bahawa sumbangan yang diberikan digunakan dengan cara yang betul dan sesuai.

"Tanpa laporan kewangan yang jelas dan terperinci, kepercayaan masyarakat terhadap institusi tersebut boleh terjejas, sehingga menyebabkan mereka ragu untuk menyumbang," katanya.

Mengulas mengenai FSY 2024, Fadillah berkata, forum itu dianjurkan sempena sambutan ulang tahun ke-40 Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan memberi makna penting kepada agensi itu yang telah lama membantu dan menyumbang kepada masyarakat dalam pembangunan ekonomi Islam, pendidikan dan pembangunan sosial.

"Saya difahamkan selama 40 tahun ini, YaPEIM telah mengagihkan RM700 juta kepada 10 juta penerima manfaat. Tahun lepas, sejumlah RM30.7 juta diagihkan yang memanfaatkan kira-kira 1.5 juta orang," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus dalam sidang media berkata, hasil dapatan dan pandangan yang dikumpulkan dalam FSY 2024 akan dimaklumkan kepada kerajaan untuk memperkasa ekonomi Islam di Malaysia.

FSY 2024 yang bermula hari ini sehingga esok membincangkan strategi baharu dan inisiatif praktikal untuk memajukan ekonomi serta kewangan Islam di rantau Asia Tenggara

Forum bertemakan "Memperkasa Ekonomi MADANI Melalui Sinergi Rangkaian Serantau" menghimpunkan hampir 60 penceramah serta ahli panel dari dalam dan luar negara.

Antara topik yang dibincangkan adalah usaha memerangi kemiskinan tegar dan ketidaksamaan; kewangan Islam, teknologi kewangan dan ekonomi bernilai tinggi; ekonomi digital; industri halal dan pelancongan Islam serta pemerkasaan institusi dan agensi Islam.

-- BERNAMA