KUALA LUMPUR: FGV Holdings Berhad (FGV) telah menyempurnakan agihan zakat perniagaan bagi tahun 2024 berjumlah RM9.8 juta, sementara RM10.1 juta bagi zakat wakalah yang disalur menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR)nya, program FGV Seikhlas Hati.

Sejumlah RM2.5 juta daripada RM9.8 juta nilai zakat perniagaan yang dibayar itu diserahkan kepada Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dalam majlis di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, Kuala Lumpur.

Selain W. P. Kuala Lumpur, FGV turut membuat bayaran zakat perniagaan di negeri-negeri di mana Kumpulan FGV beroperasi iaitu Selangor, Perlis, Pahang, dan Melaka.

Majlis pada Khamis itu turut menandakan penutup sesi kesembilan program FGV Seikhlas Hati bagi tahun 2024, yang mana Kumpulan tersebut memperuntukkan kira-kira RM1.2 juta, dengan pecahan RM130,000 bagi setiap sesi program ini.

Inisiatif ini secara langsung memberi manfaat kepada kira-kira 1,900 orang asnaf di seluruh negara.

Untuk tahun ini bagi kawasan W. P. Kuala Lumpur, FGV dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan PPZ-MAIWP telah menyumbangkan wang tunai berjumlah RM550 kepada 200 orang asnaf, berserta produk makanan keluaran FGV seperti minyak masak, santan, sos, mi segera di bawah jenama SAJI dan majerin Seri Pelangi.

Empat dari 200 orang penerima bantuan program FGV Seikhlas Hati yang menerima pek makanan FGV dan sumbangan wang tunai berjumlah RM550 seorang.

Di samping itu, FGV turut menyumbang RM10,000 kepada Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar bagi tujuan penyelenggaraan dan aktiviti-aktiviti masjid.

Kata Pengerusi FGV Tan Sri Rastam Mohd Isa, ibadah zakat bukan sahaja satu kewajipan agama tetapi ianya juga instrumen penting untuk merapatkan jurang ekonomi serta memupuk pembangunan masyarakat.

“Di FGV, kami memahami cabaran yang dihadapi golongan asnaf, dan kami komited untuk berkongsi rezeki kami dengan mereka yang memerlukan, terutamanya di kawasan-kawasan operasi kami.

“Sumbangan ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kami untuk membawa perubahan positif sekali gus meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik.”

Pada tahun 2023, program FGV Seikhlas Hati telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM500,000 kepada 900 orang asnaf.

Tahun ini, FGV memperluaskan capaian program tersebut menerusi pelbagai inisiatif termasuk Program Pembangunan Usahawan Asnaf di Perlis, dan agihan susu UHT Bright Cow kepada pelajar di bawah kelolaan MAIWP, serta penjualan 10,000 pek barangan makanan dengan harga promosi kepada 10 Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Kelang.

Ini mencerminkan dedikasi FGV untuk memperkasakan komuniti setempat di samping menyempurnakan ibadah zakat, menyerlahkan pendekatan holistik FGV dalam menangani keperluan segera sekali gus memperkasakan komuniti untuk masa hadapan.


Sempurnakan agihan, bayaran zakat 2024 berjumlah RM19.9 juta