Ringkasan AI
- Inovasi dan Teknologi: FGV memperlihatkan pelbagai inovasi di pusat penyelidikan dan ladang mereka, termasuk penggunaan teknologi genetik dan pemanfaatan sisa sawit sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui.
- Komitmen Kelestarian: FGV komited terhadap kelestarian dalam operasi mereka, menyokong peneroka kecil dan petani bebas, serta menjadi penyokong utama Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO).
- Pusat Inovasi dan Penyelidikan: Pusat Inovasi FGV di Bandar Enstek menumpukan pada penyelidikan bahan tanaman klon sawit dan tanaman lain, serta penyelesaian biosistem seperti baja bio dan kawalan biologi bagi penyakit sawit.
Melalui lawatan menyeluruh itu, FGV memperlihatkan pelbagai inovasi di pusat penyelidikan dan ladang mereka, termasuk penggunaan teknologi genetik, penghasilan produk lestari, serta pemanfaatan sisa sawit kepada sumber tenaga boleh diperbaharui.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kelestarian FGV, Nurul Hasanah Ahamed Hassain Malim, komitmen terhadap kelestarian menjadi tunjang utama dalam menjalankan operasi syarikat secara mampan.
“Sebagai sebuah syarikat yang bertanggungjawab, kami mahu melakukan perkara yang betul, yang bukan sahaja penting untuk memastikan pasaran produk kami, tetapi juga untuk menyokong peneroka kecil dan petani bebas.
“Kelestarian adalah perkara yang penting dan kita nampak isu kelestarian ini sebagai tanggungjawab besar FGV.
"FGV juga merupakan penyokong utama kepada Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) iaitu sebuah usaha kerajaan untuk meningkatkan produktiviti dan kemampanan industri sawit negara,” ujar beliau.
Salah satu titik tumpuan utama dalam program ini adalah Pusat Inovasi FGV di Bandar Enstek, yang menampilkan penyelidikan dalam penghasilan bahan tanaman klon sawit serta tanaman lain seperti pisang, nanas, sacha inchi, ‘sunchoke’, dan vanila.
Di pusat ini, penyelidik FGV menggunakan kaedah genomik dan bioinformatik untuk mengesan penanda DNA yang membantu dalam pemilihan dan penjagaan bahan tanaman berkualiti tinggi.
Selain itu, FGV turut menjadikan pusat ini sebagai hub penyelesaian biosistem seperti baja bio dan kawalan biologi bagi penyakit sawit, di samping mengurangkan kebergantungan kepada baja kimia.
Usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen FGV untuk mempromosikan amalan pertanian lestari yang mesra alam.
FGV juga menjalankan kajian dalam menghasilkan produk berasaskan sawit untuk kegunaan makanan dan bukan makanan, termasuk minyak masak, marjerin, dan produk konfeksi.
Salah satu pencapaian di Ladang Besout 6 yang turut dilawati adalah hasil tanaman yang memberangsangkan serta kebajikan pekerja yang dijaga rapi, dengan kapasiti kuarters yang mampu menampung kira-kira 200 pekerja migran dalam persekitaran yang terurus.
Selain itu, FGV turut memperkenalkan penggunaan teknologi biogas di kilang sawit mereka sebagai langkah mengurangkan jejak karbon.
Pengarah Divisyen Perladangan FGV, Borhan Bachi, turut menekankan kepentingan pengumpulan dan penggunaan sisa sawit untuk menjana nilai ekonomi tambahan.
“Kami mengumpul tempurung kelapa sawit, menjualnya ke pasaran tempatan dan eksport, serta mengubah sisa ini menjadi sumber pendapatan.
"Kami juga serius dalam menggunakan kenderaan elektrik (EV) dan menyasarkan untuk menggunakan EV bagi barrow kuasa sebelum Februari tahun depan,” kata Borhan.
Dalam pada itu, FGV juga menjalankan program konservasi beruang matahari (SBCP) dengan menyelamatkan spesis terancam beruang matahari dalam menyokong konsep 3R iaitu ‘rescue, rehabilitation, release’.
Program itu menerusi kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak lapan tahun lalu.
Dengan komitmen berterusan terhadap kelestarian, FGV terus memperkukuh kedudukan mereka dalam industri sawit, sambil mencipta impak positif kepada komuniti dan alam sekitar.