KUALA LUMPUR: Golongan pekebun kecil kelapa sawit disaran untuk meningkatkan kadar pengeluaran hasil antara lima hingga 10 tan metrik setahun.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ia secara tidak langsung mampu meningkatkan penghasilan minyak sawit mentah (CPO) bagi tempoh sama.

“Dengan 1.5 juta hektar ladang-ladang kelapa sawit yang dikendalikan oleh pekebun kecil, jika mereka meningkatkan pengeluaran lima hingga 10 tan metrik setahun, secara tidak langsung akan meningkatkan penghasilan CPO kepada dua hingga 2.5 juta tan metrik setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Kolaborasi (MoC) antara FGV Holdings Bhd dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), di sini, pada Selasa.

Antara fokus utama MoC adalah untuk memperkasakan pekebun-pekebun kecil dengan menggalakkan mereka mengambil bahagian secara aktif dalam pengeluaran minyak sawit lestari.

Inisiatif bersama FGV dan MPOB ini sebagai menyokong pekebun kecil dalam mematuhi piawaian Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) dan syarat kebolehjejakan ditetapkan Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah.

Ia sekali gus meningkatkan daya saing pekebun kecil dan memudahkan akses ke pasaran minyak sawit premium.

Kerjasama FGV dan MPOB turut memperkenalkan program ‘Kebun Angkat’ sebagai langkah untuk memberi sokongan langsung kepada pekebun kecil terpilih.

Program ini menawarkan bantuan teknikal dan bimbingan dalam amalan pertanian lestari dengan matlamat memperkukuh kedudukan industri kelapa sawit Malaysia di peringkat global selain memberi bimbingan mengenai amalan pertanian secara lestari.