ROTTERDAM: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka bergerak sekitar RM4,000 satu tan menjelang akhir tahun ini, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Ketua Pengarah MPOB Datuk Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata harga MSM pada tahun lepas adalah antara RM3,800 hingga RM4,200 satu tan.

"Kita mendapati berlaku peningkatan paras stok tahun ini namun, berharap menjelang akhir tahun ini, stok kita kekal di bawah dua juta tan," katanya kepada Bernama di luar Persidangan Minyak Sayuran Mampan kali ketiga anjuran Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) di sini, pada Selasa.

Menurut MPOB pengeluaran MSM Malaysia meningkat sebanyak 2.9 peratus kepada 1.89 juta tan pada Ogos 2024 daripada 1.84 juta tan pada bulan sebelumnya, manakala stok MSM meningkat sebanyak 2.5 peratus kepada 953,145 tan daripada 930,099 tan metrik pada Julai.

Eksport minyak sawit pula susut 9.7 peratus kepada 1.53 juta tan daripada 1.69 juta tan pada Julai, tambah agensi itu.

Terdahulu, Ahmad Parveez membuat pembentangan pada persidangan itu dengan menekankan bahawa MPOB sedang giat memenuhi kriteria dan keperluan kebolehkesanan yang ditetapkan Peraturan Produk Bebas Pembasmian Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).

Beliau berkata MPOB juga sedang menjalankan pemetaan kanopi untuk mendokumentasikan kawasan penanaman kelapa sawit.

"Kita perlu bersedia, sebab itu kita melakukan usaha ini. Menerusi penggunaan imejan satelit, kita boleh mengenal pasti semua ladang kelapa sawit.

"Kita boleh membezakan antara kelapa sawit, kelapa atau tanaman lain berdasarkan kaedah penanaman. Selain itu, dengan menganalisis jarak, kita boleh menganggarkan umur pokok itu," katanya.

-- BERNAMA