KUALA LUMPUR: Eksport minyak sawit Malaysia melonjak 39.92 peratus kepada 1.69 juta tan pada Julai 2024 daripada 1.21 juta tan pada Jun 2024, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

MPOB berkata eksport oleokimia juga meningkat sebanyak 24.91 peratus bulan ke bulan kepada 270,073 tan pada Julai daripada 216,219 tan sebelum ini.

"Eksport minyak isirung sawit meningkat 18.94 peratus bulan ke bulan kepada 109,908 tan daripada 92,403 tan pada Jun, manakala eksport dedak isirung sawit meningkat 1.85 peratus m-o-m kepada 217,365 tan pada bulan Julai daripada 213,418 tan pada bulan sebelumnya.

"Bagaimanapun, eksport biodiesel turun sebanyak 28.86 peratus bulan ke bulan kepada 10,345 tan pada Julai berbanding 14,542 tan pada bulan Jun," kata MPOB dalam laporan Prestasi Industri Minyak Sawit Malaysia bagi Julai 2024.

Ia berkata stok minyak sawit turun sebanyak 5.35 peratus bulan ke bulan kepada 1.73 juta tan pada Julai 2024 daripada 1.83 juta tan pada bulan sebelum itu.

"Stok minyak sawit mentah (MSM) negara susut 0.36 peratus bulan ke bulan kepada 921,859 tan pada Julai daripada 925,165 tan yang dicatatkan pada Jun.

"Sementara itu, stok minyak sawit yang diproses juga menurun sebanyak 10.45 peratus bulan ke bulan kepada 811,360 tan berbanding 906,074 tan sebelum itu," kata MPOB.

Pada masa yang sama, pengeluaran MSM meningkat sebanyak 13.97 peratus bulan ke bulan kepada 1.84 juta tan daripada 1.62 juta tan pada Jun, manakala pengeluaran isirung sawit meningkat sebanyak 16.17 peratus bulan ke bulan kepada 427,342 tan daripada 367,852 tan pada Jun.

Import minyak isirung sawit melonjak 101.63 peratus bulan ke bulan kepada 22,611 tan daripada 11,214 tan pada Jun, manakala import MSM berjumlah 504 tan.

"Jumlah import minyak sawit yang diproses merosot sebanyak 14.98 peratus bulan ke bulan kepada 9,979 tan pada Julai daripada 11,738 tan pada bulan sebelumnya, manakala import minyak sawit susut 10.69 peratus bulan ke bulan kepada 10,483 tan metrik," katanya.

-- BERNAMA