KUALA LUMPUR: Malaysia menyokong komitmen Indonesia untuk meneruskan mandat biodiesel B40 pada 2025.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ini disebabkan langkah dibuat Indonesia itu membantu industri minyak sawit secara keseluruhannya.

“Indonesia menghasilkan kira-kira 48 juta tan metrik minyak sawit setiap tahun dan hampir 25 peratus daripada jumlah itu digunakan untuk pengeluaran biodiesel. Bolehkah anda bayangkan jika mereka tidak menggunakan biodiesel?

“Justeru, 25 peratus itu perlu dihantar ke pasaran dunia. Ini akan mewujudkan tekanan terhadap harga, jadi kita patut berterima kasih kepada Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Kolaborasi (MoC) antara FGV Holdings Bhd dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), di sini, pada Selasa.

Dokumen MoC itu ditandatangani oleh Pengerusi FGV, Tan Sri Rastam Mohd Isa; Pengerusi MPOB, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Fakhrunniam Othman dan Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

Sebelum ini dilaporkan, Indonesia komited untuk mula melaksanakan campuran biodiesel mandatori 40 peratus dengan bahan api berasaskan minyak sawit atau B40, pada 1 Januari tahun ini.

Indonesia sebagai pengeluar minyak sawit terbesar dunia, kini menggunakan B35, campuran 35 peratus biodiesel berasaskan minyak sawit.

Bagaimanapun, baru-baru ini, kerajaan Indonesia masih belum melaksanakan campuran mandatori biodiesel B40 yang dirancang bermula 1 Januari kerana peserta industri masih menunggu butiran teknikal peraturan baharu.

Ia sekali gus menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pedagang minyak sawit.

Mengulas lanjut, Johari berkata, Indonesia kini berada pada tahap penggunaan biodiesel B40, jauh lebih tinggi berbanding Malaysia yang masih pada tahap B10.

"Ini adalah peluang bagi kita untuk belajar dan memperkukuh dasar serta inovasi dalam industri biodiesel, selaras dengan potensi besar yang dimiliki Malaysia dalam sektor ini," katanya