Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam laporan prestasi industri bagi Januari 2025 berkata, pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) bagi bulan itu susut 16.80 peratus atau 249,864 tan kepada 1.24 juta tan daripada 1.49 juta tan pada Disember 2024.
Pengeluaran isirung sawit berkurangan 13.57 peratus bulan ke bulan kepada 290,883 tan pada Januari lepas daripada 336,558 tan pada bulan sebelumnya.
Selain itu, pengeluaran minyak isirung sawit mentah turun 12.60 peratus kepada 137,158 tan daripada 156,926 tan pada Disember manakala hampas isirung sawit susut 12.16 peratus kepada 151,813 tan daripada 172,826 tan.
Bagi inventori, MPOB berkata, stok MSM turun sebanyak 11.78 peratus kepada 788,946 tan daripada 894,330 tan pada Disember.
Stok minyak sawit diproses pula berkurangan 2.90 peratus kepada 790,817 tan pada Januari 2025 daripada 814,426 tan pada bulan sebelumnya manakala jumlah stok minyak sawit turun sebanyak 7.55 peratus kepada 1.58 juta tan daripada 1.71 juta tan pada Disember lepas.
Menurut MPOB, penurunan ketara eksport minyak isirung sawit mencecah 40.85 peratus kepada 56,737 tan pada Januari 2025 daripada 95,918 tan pada Disember 2024.
Eksport hampas isirung sawit turun 0.09 peratus kepada 177,396 tan pada Januari 2025 daripada 177,553 tan pada bulan sebelumnya.
Bagaimanapun, eksport biodiesel melonjak 121.89 peratus kepada 33,795 tan pada Januari lepas daripada 15,231 tan sebelumnya manakala eksport oleokimia bagi tempoh sama meningkat pada 232,567 tan iaitu menokok 4.08 peratus daripada 223,447 tan bagi Disember lepas.
MPOB berkata, import MSM adalah sifar pada Januari 2025 dengan jumlah keseluruhan import minyak isirung sawit merosot 72.04 peratus kepada 5,673 tan daripada 20,291 tan dalam bulan sebelumnya. - BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)