KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur dilihat sebagai pusat pembangunan dan kemakmuran, tetapi ironi dan realitinya, kesenjangan ekonomi antara yang kaya dengan yang miskin amat ketara dan semakin melebar.

Pendapatan yang tidak setara dengan kos sara hidup yang tinggi menyebabkan saban tahun semakin ramai yang jatuh ke dalam kancah miskin bandar dan terpaksa mengharapkan bantuan untuk terus hidup.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) setakat November 2024, perbelanjaan asas kehidupan wajar (PAKW) bagi penduduk di Malaysia adalah RM4,729, tetapi jumlahnya lebih tinggi di Kuala Lumpur pada RM5,468.

Bagi membantu kelangsungan hidup golongan ansaf di Wilayah Persekutuan, RM1.03 bilion telah diagihkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tahun ini.

Bagaimanapun, jumlah kutipan zakat masih sekitar RM969 juta setakat 26 Disember 2024.

“Sebab itu dari segi keperluan zakatnya memang agak tinggi kerana apabila kita melebarkan dari segi pendapatan orang yang tergolong dalam miskin bandar maka jumlah mereka berhak menerima bantuan zakat meningkat.

“Cuma isunya sekarang ini adalah dari segi kewangan kita mampu untuk melebarkan (paras pendapatan golongan layak terima bantuan zakat) tapi duit zakat yang kita kutip sebenarnya belum lagi mencukupi,” maklum Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Datuk Abd Hakim Amir Osman.

Pembayar yang berurusan di kaunter PPZ-MAIWP akan disaji jamuan ringan dan cenderahati menarik sempena Kempen YEZ 2024.

Jelas sekali masih ramai yang belum melunaskan rukun Islam ketiga itu, justeru Abd Hakim menyeru agar mereka segera berbuat demikian demi kemaslahatan ummah.

Bagi memudahkan orang ramai membuat pembayaran zakat, PPZ-MAIWP menjalankan Kempen Year End Zakat (YEZ) 2024 bermula 15 November tempoh hari hingga 31 Disember nanti, melalui pelbagai perkhidmatan dan saluran pembayaran.

Selain itu, pembayar zakat dapat menikmati 100 peratus rebat cukai pendapatan bagi taksiran tahun 2024.

“Malaysia satu-satunya negara di dunia yang menyediakan kemudahan rebat penuh daripada cukai pendapatan individu, bermakna mereka yang tak bayar zakat memang rugi, dunia dan akhirat,” tegas Abd Hakim.

Pelbagai pengisian diatur sepanjang kempen berlangsung, antaranya Berkat Niaga iaitu perkhidmatan pengiraan zakat ke premis-premis perniagaan; juga YEZ Tour yang membawa kaunter zakat dan wakaf bergerak ke sekitar Wilayah Persekutuan.

Nikmati rebat cukai pendapatan 100 peratus untuk taksiran tahun 2024.

Sehingga 31 Disember 2024, kaunter-kaunter PPZ-MAIWP akan beroperasi setiap hari termasuk cuti umum dengan lanjutan tempoh dari 8 pagi hingga 9 malam, kecuali di UTC Pudu Sentral iaitu sehingga 8 malam.

Pembayar yang berurusan di kaunter akan disajikan dengan jamuan ringan serta dihadiahkan cenderahati istimewa seperti beg belanja eksklusif, kalendar 2025 dan bermacam lagi.

Buat yang tidak berkesempatan ke kaunter, anda boleh membuat semakan dan pembayaran secara dalam talian melalui portal PPZ-MAIWP di www.zakat.com.my, aplikasi MyZakat atau melalui ejen seperti perbankan internet dan juga e-Wallet.

“PPZ-MAIWP juga menyediakan perkhidmatan tambahan seperti Amil2U yang mana kita boleh pergi ke rumah pembayar, dengan membuat temu janji di mytemujanji.zakat.com.my atau hubungi talian zakat 1-300-88-5757 untuk membuat bayaran melalui pusat panggilan.

“Jadi tiada alasan sebenarnya untuk tidak membayar zakat, dengan segala kemudahan dan saluran yang disediakan,” tegas Abd Hakim.

Sempena Kempen YEZ 2024, pembayar juga berpeluang untuk memenangi pakej umrah dan lebih 1,500 hadiah menarik yang akan diumumkan pada Februari 2025.

Sempena Kempen YEZ 2024, pembayar juga berpeluang untuk memenangi pakej umrah dan lebih 1,500 hadiah menarik yang akan diumumkan pada Februari 2025.