Projek pembangunan campuran mega bernilai RM10 bilion di Teluk Dumpil Putatan dekat sini yang akan dimajukan oleh Setara Juara Sdn Bhd (SJSB) bakal menawarkan lebih 6,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Pengerusinya Datuk Seri Arsit Sedi berkata kerja-kerja pembinaan projek tersebut yang terletak di kawasan seluas 101 hektar (250 ekar) di tepian laut sepanjang lebuh raya Kota Kinabalu-Putatan-Lok Kawi itu dijangka bermula pada September depan.

Menurutnya, projek pembangunan mega itu melibatkan pembinaan pusat rekreasi, pelancongan, komersial, rumah antarabangsa, hotel dan taman tema termasuk pusat membeli belah terbesar di Sabah.

"Pembangunan ini diharapkan dapat membantu meningkatkan ekonomi tempatan dan mewujudkan ribuan peluang pekerjaan dan perniagaan bagi penduduk tempatan dan pelabur antarabangsa dalam jangka masa panjang," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Arsit berkata pembangunan projek itu melibatkan empat fasa dan fasa pertama dijangka disiapkan dalam tempoh lima tahun.

Menurutnya, projek tersebut yang turut mendapat kerjasama daripada sebuah syarikat dari China bakal menjadikan kawasan pinggir bandar berkenaan sebagai kawasan zon perdagangan bebas komersial.

--BERNAMA