KUALA LUMPUR: Firma-firma penganalisis memberikan reaksi berbeza terhadap sektor telekomunikasi selepas menghadiri Laporan Suku Tahunan mengenai Rancangan Infrastruktur Digital Nasional (Jendela) yang dianjurkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Jumaat lalu.

CGS-CIMB mengekalkan panggilan 'Neutral' terhadap sektor tersebut dengan memberi kelebihan kepada segmen talian tetap berbanding mudah alih berikutan pendapatan yang lebih baik dan persaingan yang lebih perlahan bagi segmen tersebut.

Sementara itu AmInvestment Bank mengekalkan saranan 'Overweight' bagi sektor berkenaan memandangkan sinergi penyatuan bagi dua operator selular yang sebahagiannya dapat mengurangkan persaingan harga yang sengit dan kenaikan kos 5G daripada perjanjian borong Digital Nasional.

"Kami mengulangi panggilan 'Beli' kami untuk TM, yang telah menunjukkan peningkatan kos yang signifikan bersama dengan hasil dividen yang menarik dan 'Kekal' untuk Maxis berikutan persaingan berterusan dari pengendali rangkaian maya mudah alih dan pemain segmen yang berpatutan lain seperti UMobile yang mengekang prospek pertumbuhan pendapatan," katanya dalam nota kajiannya di sini semalam.

Jumaat lalu, Pengerusi MCMC, Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek membentangkan Laporan Suku Tahunan mengenai Rancangan Infrastruktur Digital Nasional (Jendela).

Menurutnya, walaupun kadar borong 5G masih dinilai oleh MCMC, beliau menegaskan bahawa harga akses standard wajib (MSAP) antara Digital Nasional dan pengendali telko akan menyebabkan harga runcit sekurang-kurangnya sama atau lebih rendah daripada kadar 4G per Mbps.

AmInvestment Bank berkata, bagi pengguna, ini mungkin bermaksud bahawa harga keseluruhan pelan mudah alih kemungkinan besar tidak akan berubah.

"Syarikat telekomunikasi berkemungkinan menghadapi trajektori pendapatan yang rendah disamping menanggung caj borong tambahan dari Digital Nasional, yang sebahagiannya diimbangi dengan memajak pendapatan daripada operator infrastruktur rangkaian yang ada yang diperlukan untuk penyambungan 5G," katanya.

Selain itu katanya, dengan penurunan tekanan harga jalur lebar, ini dapat mengurangkan risiko pendapatan jangka panjang kepada segmen borong TM dan Time dotCom. 


*Berita asal di DagangNews.com