PUTRAJAYA: Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mendapatkan pelan perancangan seterusnya daripada U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) berhubung proses pelaksanaan rangkaian 5G kedua di negara ini, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.


Ringkasan AI
  • MCMC akan mendapatkan pelan perancangan seterusnya daripada U Mobile berhubung pelaksanaan rangkaian kedua 5G di Malaysia.
  • U Mobile perlu mematuhi syarat-syarat tertentu yang dikenakan oleh MCMC, berdasarkan pengalaman dengan rangkaian 5G pertama oleh Digital Nasional Bhd.
  • Fahmi Fadzil menegaskan bahawa badan Eksekutif tidak terlibat dalam pemilihan U Mobile dan syarikat tersebut layak memohon seperti Celcomdigi dan Maxis.


Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata, beliau dimaklumkan oleh MCMC bahawa langkah itu adalah daripada susulan agensi berkenaan memberi kebenaran kepada U Mobile untuk mengadakan perbincangan strategik dengan syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang lain (MNO).

Selain itu Fahmi berkata beliau turut dimaklumkan bahawa U Mobile akan dikenakan syarat-syarat tertentu oleh MCMC, mengambil kira pengalaman sewaktu pengendalian rangkaian 5G pertama oleh Digital Nasional Bhd sebelum ini.

“Langkah berikutnya pihak MCMC akan memanggil U Mobile untuk mengadakan perbincangan, kerana kita sedia maklum U Mobile pada sehari lepas pengumuman MCMC (pada 1 Nov), pihak U Mobile telah memaklumkan bahawa mereka bersedia untuk bekerjasama dengan rakan-rakan strategik, sama ada di kalangan syarikat penyedia perkhidmatan mudah alih (MNO) dan sebagainya.

“Jadi kita tunggu pertemuan tu dulu, MCMC akan mendapat maklum balas U Mobile apakah perancangan mereka, perbincangan mereka, dan mungkin selepas itu ada makluman susulan,” katanya kepada sidang media sempena pasca Mesyuarat Kabinet di Putrajaya, pada Jumaat.

Dalam pada itu Fahmi berkata, agak pramatang untuk beliau memaklumkan tentang syarat terhadap syarikat tersebut, dan syarat berkenaan akan ditetapkan selepas MCMC mengambil kira pengalaman pengendali rangkaian pertama 5G iaitu Digital Nasional Bhd (DNB).

“Memang kalau kita lihat pengalaman sebelum ini apabila kita menyaksikan penggabungan antara Celcom dan juga Digi, penggabungan itu datang dengan sejumlah syarat dikenakan oleh badan kawal selia iaitu MCMC.

"Sudah pasti...malah kalau kita lihat dalam pelaksanaan rangkaian 5G pertama di bawah DNB juga ada dikenakan syarat-syarat tertentu dan bagi rangkaian kedua sudah pasti akan ada syarat dikenakan juga," katanya lagi.

Fahmi berkata, beliau sekali lagi ingin menegaskan bahawa badan Eksekutif tidak terlibat dalam pemilihan U Mobile, selain menegaskan syarikat yang dikaitkan dengan jutawan Vincent Tan itu layak membuat permohonan seperti mana Celcomdigi dan Maxis.

Katanya lagi, jika dibuat perbandingan, Celcomdigi bakal memiliki sekitar 18,000 menara, diikuti Maxis (12,000) dan U Mobile (10,000), namun Fahmi berkata beliau akur dengan keputusan MCMC.