Ringkasan AI
- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menegaskan bahawa Malaysia tidak pernah mengiktiraf negara Israel dan kekal dengan pendirian untuk melindungi kewujudan Palestin.
- Fahmi mengkritik tindakan sesetengah pihak yang menyebarkan fitnah dengan mengambil satu bahagian daripada wawancara Perdana Menteri bersama CNN.
- Fahmi akan meminta MCMC meneliti laporan media yang memberi gambaran seolah-olah pendirian negara berubah dan mengambil tindakan jika ada kesalahan undang-undang.
Menurutnya, dalam wawancara Perdana Menteri bersama CNN yang tular baru-baru ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan jelas menyatakan pendirian Malaysia untuk melindungi kewujudan Palestin.
Fahmi juga mengkritik tindakan sesetengah pihak, yang mengambil hanya satu bahagian daripada wawancara bersama Perdana Menteri dan kemudian menyebarkan fitnah, memberi gambaran seolah-olah Malaysia iktiraf kewujudan Israel.
Tambahnya, kenyataan berkaitan penyelesaian dua negara juga bukanlah perkara baharu, bahkan pernah disebut sebelum tahun 2022 lagi.
Jelasnya, kenyataan itu pernah dibuat oleh Perdana Menteri sebelum ini iaitu pada tahun 2005, 2016, 2020 dan juga juga pada tahun 2021.
“Tapi yang penting, seperti Perdana Menteri telah bangkitkan di Parlimen pada hari pertama sidang Parlimen.
“Perdana Menteri telah memberi penerangan mengenai apa yang Malaysia berhasrat untuk bawa ke sidang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu usul untuk mengeluarkan negara haram Israel.
“Ini langsung tidak disebut oleh kumpulan ini dan ia sangat tidak adil. Saya bagi pihak jemaah menteri perlu memberikan penjelasan berhubung perkara ini.
“Ini yang kita harap dapat diperjelaskan. Ia adalah pendirian yang telah dinyatakan sejak sekian lama,” katanya.
Wawancara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama agensi media antarabangsa CNN tular baru-baru ini apabila ada pihak mendakwa Malaysia seolah-olah mengiktiraf negara haram Israel.
Dakwaan itu dikatakan banyak datang daripada pembangkang dengan isu tersebut turut dibangkitkan di sidang Parlimen menerusi Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.
Dalam pada itu, Fahmi menegaskan beliau akan meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meneliti laporan media yang memberi gambaran seolah-olah pendirian negara berubah berhubung isu berkaitan.
Menurutnya, sekiranya ada kesalahan undang-undang, sudah tentu tindakan akan diambil.
“Saya tegaskan bahawa kerajaan tidak berhasrat untuk menghalang terutama dari rakan media untuk membuat laporan.
“Tapi kita harus berhati-hati untuk melayan spekulasi, atau menterjemahkan spekulasi seolah-olah ia adalah fakta.
“Jadi, sering kali teguran dibuat tapi sekiranya perlu, kita akan pertimbang tindakan yang lebih tegas. Jadi saya akan minta MCMC untuk teliti,” ujarnya.