Keputusan dana harta negara Norway untuk mengeluarkan bon pasaran negara sedang pesat membangun daripada indeks penanda aras yang dipantaunya tidak akan memberi kesan besar kepada Malaysia, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Beliau berkata kesan itu tidak ketara kepada Malaysia kerana negara memiliki banyak pelabur institusi domestik.

"Jika anda lihat pada laporan tahunan dan semua itu, kita telah menunjukkan malahan (sekiranya) terdapat tempoh aliran keluar yang besar, hasil bon kita tidak banyak bergerak seperti yang mungkin dialami negara lain apabila mereka mengalami aliran keluar yang sama.

"Ia kerana kita mempunyai sejumlah besar pelabur institusi domestik," katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan prestasi keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku pertama Malaysia, di sini, hari ini.

Nor Shamsiah berkata meskipun keputusan dana harta negara Norway itu, hasil bon Malaysia kekal pada tahap yang sama seperti pada awal tahun ini.

"Hasil bon ada meningkat di sebabkan oleh aliran keluar tetapi baru-baru ini, ia susut kembali ke paras yang kita lihat pada awal tahun ini.

"Ini adalah ciri pasaran bon, ia akan ada aliran masuk dan aliran keluar. Apa yang lebih penting, kita mahu memastikan apa-apa aliran dan sebarang pergerakan di kadar pertukaran ringgit adalah teratur dan tidak mengganggu pasaran kewangan atau aktiviti ekonomi," katanya.

Terdahulu semasa pembentangan beliau, Nor Shamsiah berkata aliran keluar pada April berjumlah RM7.1 bilion ekoran pelbagai perkembangan luaran dan pengumuman oleh dana harta negara Norway itu, antara lainnya.

"Ini adalah ciri biasa melabur dalam aset kewangan. Ada pelabur yang mengambil pegangan jangka pendek, manakala selebihnya mengambil pegangan jangka panjang," katanya.

-- BERNAMA