KUALA LUMPUR: Komitmen kerajaan terhadap pembaharuan ekonomi dan keyakinan tinggi kemungkinan pengecilan jurang kadar faedah antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) telah membantu ringgit mencatatkan prestasi yang memberangsangkan, kata seorang penganalisis.

Menurut data daripada Bloomberg, ringgit kini merupakan mata wang kedua mencatatkan prestasi terbaik di rantau Asia, dengan angka data setakat tahun ini menunjukkan ia menyusut hanya 1.66 peratus berbanding dolar AS, di belakang rupee India yang menyusut sebanyak 0.39 peratus.

Dolar Brunei dan dolar Singapura masing-masing susut 1.70 peratus, Renminbi China turun 2.12 peratus, rupiah Indonesia jatuh 4.57 peratus, peso Filipina susut 5.15 peratus, baht Thailand turun 5.35 peratus, dolar Taiwan berkurangan 6.05 peratus, Won Korea Selatan turun 6.20 peratus manakala yen Jepun jatuh 11.40 peratus.

Pada 6 petang, ringgit diniagakan lebih kukuh kepada 4.6700/6730 berbanding dolar AS daripada 4.6855/6895 pada Khamis. Semasa hari dagangan, ringgit mencecah paras tertinggi intra harinya pada RM4.6630 berbanding dolar AS namun menyusut kepada RM4.6757 pada sesi dagangan petang.

Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, momentum pembaharuan ekonomi di Malaysia mendapat perhatian meluas daripada komuniti pelabur global dan ini telah menyokong mata wang tempatan itu.

"Kita juga melihat semakan positif daripada agensi penarafan kredit dengan Fitch Ratings (Fitch) mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada BBB+ dengan tinjauan 'stabil'.

"Dan yang terkini berkaitan peningkatan penarafan negara oleh JP Morgan daripada 'underweight' kepada 'neutral' juga menjadi punca utama ringgit mencatatkan prestasi yang agak baik," katanya kepada Bernama.

JP Morgan berkata, peningkatan itu didorong oleh pembaharuan dasar-dasar negara, pelaburan pusat data serta pembangunan infrastruktur.

Dalam wawancara dengan stesen media CNBC baru-baru ini, Ketua JP Morgan bagi Asia Pasifik (kecuali Jepun/China), Rajiv Batra menyifatkan tahap kemajuan Malaysia sebagai memberangsangkan dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar mencecah 4.2 peratus pada suku pertama 2024..

"Apa yang lebih menarik bagi kami adalah semua petanda ini dicatatkan pada tahun lepas.

"Pertumbuhan pendapatan misalnya hampir menjejaki tahap 10-11 peratus yang juga satu peningkatan yang mengejutkan. Kami perlu memberi pujian kepada negara itu (Malaysia) dan atas alasan ini, kami menaikkan penarafan tersebut kepada neutral," katanya.

Rajiv turut mengetengahkan tindakan Malaysia mengambil langkah berani dalam penyasaran subsidi, termasuk diesel selain memastikan hanya golongan benar-benar memerlukan diberi bantuan tunai secara bulanan.


Prospek ringgit

Mohd Afzanizam berkata, ringgit dijangka ditutup dalam jajaran 4.55 menjelang akhir tahun ini, memandangkan pengurangan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) yang dijangka seawal September ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, kenyataan pengerusi Fed Jerome Powell kepada Kongres AS baru-baru ini menunjukkan bank pusat berada di landasan untuk menurunkan kadar sekiranya data ekonomi semakin baik atau angka inflasi akan menyusut lebih rendah daripada 2 peratus atau sebaliknya.

Kadar Dana Persekutuan (FFR) kini pada berada 5.25-5.5 peratus manakala Kadar Dasar Semalaman (OPR) di Malaysia pada 3.0 peratus.

"Ia menunjukkan seolah-olah dalam situasi mengambil risiko memandangkan Fed berada di landasan untuk mengurangkan FFR pada September.

"Prospek perbezaan kadar faedah yang lebih rendah antara FFR dan OPR akan menjadi penggerak kepada ringgit yang teguh dalam tempoh terdekat," katanya kepada Bernama.

Rasionalisasi seterusnya yang melibatkan petrol RON95 akan menjadi lonjakan kritikal bagi kerajaan.

"Ini agak kritikal, tetapi sudah tentu ia tidak popular. Sekiranya kerajaan boleh melaksanakannya, pasaran akan memberi nilai respons yang menggalakkan untuk pendedahan selanjutnya kepada pasaran kita," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan baru-baru ini berkata, kerajaan belum membuat keputusan mengenai rasionalisasi subsidi RON95.

Mengenai risiko penurunan ringgit, Mohd Afzanizam berkata, ia mungkin berlaku sekiranya Fed tidak menurunkan kadar.

"Mereka mungkin atau tidak mungkin melakukannya (menurunkan kadar) memandangkan masih terdapat sebilangan ahli yang cenderung untuk menaikkan kadar faedah dan mereka bertekad untuk mencapai sasaran dua peratus (inflasi)," katanya.

Kemajuan ekonomi akan diteruskan

Senada dengan sentimen itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan menjangkakan ekonomi Malaysia akan terus maju, dengan mengambil kira keadaan ekonomi semasa.

"Pelaksanaan dasar fiskal termasuk penambahbaikan tadbir urus serta rasionalisasi subsidi dijangka berupaya meningkatkan asas ekonomi tempatan. Trajektori positif ini dijangka menyumbang kepada pengukuhan ringgit," katanya.

Mohd Sedek berkata, langkah Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan OPR pada 3.00 peratus telahpun dijangkakan oleh pasaran.

Ini mungkin akan memberikan sokongan untuk menstabilkan nilai ringgit dalam masa terdekat dan mengelakkan sebarang kejutan pasaran yang ketara, kata beliau. - BERNAMA